Berita

Di mana Raime Unggi waktu rasuah libatkan DBKL dan Kementerian Belia?

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Adakah gesaan ahli parlimen UMNO, Datuk Raime Unggi agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung kes rasuah melibatkan projek infrastruktur RM3.3 bilion bertujuan untuk menghancurkan kerjaya politik beliau?

Melontarkan persoalan itu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata tidak ada sebarang gesaan pun dibuat dari pihak UMNO semasa penangkapan bekas pegawai dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini atas sebab rasuah.

“Saya hairan, dari mana munculnya Raime ini? Kenapa beliau tidak muncul mendesak SPRM supaya menyiasat Datuk Seri Ahmad Shabery Ceek dan Khairy Jamaludin untuk kes rasuah dan penggelapan dana oleh pegawai KBS berjumlah RM138.5 juta sebelum ini?

“Berdasarkan kebijaksanaan Raime ini, mustahil bagi pegawai KBS itu untuk mengumpul kekayaan begitu besar tanpa pengetahuan kedua-dua bosnya itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Lip Eng, sekiranya SPRM mahu mengikut ‘arahan’ Raime dan menyiasat Shafie Apdal, SPRM juga wajar menyiasat Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atas kes rasuah melibatkan pegawai senior Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Ogos lalu.

“Ku Nan dan datuk-datuk bandar DBKL dahulu dan sekarang perlu disiasat kerana ‘membenarkan’ seorang pegawai senior mengumpul kekayaan berupa 31 unit kondominium dan berdepan dakwaan rasuah melibatkan dana sebanyak RM10 juta.

“Kekayaan Ku Nan adalah jauh lebih perlu dipersoal memandangkan beliau mendakwa asetnya begitu banyak dan akan menarik minat penculik jika diisytiharkan kepada umum,” ujar Lip Eng, sinis.

Raime yang merupakan Ahli Parlimen Tenom semalam menggesa SPRM menyiasat Shafie Apdal yang menyandang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada tahun 2010, berhubung rasuah melibatkan projek infrastruktur di Sabah.

Shafie bertugas sebagai menteri di jabatan berkenaan dari 2009 hingga 2015 dan kemudiannya digantikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas beliau mengkritik pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Raime dan rakan-rakannya dalam UMNO mesti membuat kenyataan lebih lanjut bagi menjelaskan kekaburan dan syak wasangka orang ramai sama ada wujud konspirasi pihak tertentu untuk menghabiskan kerjaya politik Shafie dan mereka yang telah tinggalkan UMNO,” tegas Lip Eng. – Roketkini.com