Berita

Kerajaan PAS Kelantan gagal pantau pembalakan musnahkan kubur Orang Asli

GUA MUSANG, 13 OKT: Syarikat balak yang mendapat kelulusan kerajaan PAS Kelantan diselar kerana menjalankan aktiviti pembalakan sehingga telah memusnahkan kawasan kubur Orang Asli di kawasan Rondong, dekat Pos Gob.

Dalam satu tinjauan baru-baru ini, penduduk menunjukkan tapak kawasan kubur yang telah musnah akibat pembalakan.

“Di sini banyak yang kami nampak. Selama ini pihak syarikat pembalakan telah masuk dan tidak menghormati.

“Sekarang tempat-tempat, tanah perkuburan telah diratakan.

img_1075

Yusman meninjau balak yang telah ditebang di kawasan Rondong. Foto oleh Ahmad Yusufi.

“Tanah ini, tok nenek moyang kami telah puja, gunung-gunung, tempat keramat, sebab itu kami sayang. Sebab itu kami menghalang pihak syarikat pembalakan yang ceroboh tempat kami,” kata Yusman.

Merujuk kepada papan tanda kongsi tersebut, keluasan hutan yang diberikan untuk penebangan balak ialah 239 hektar dengan menamakan Pelesen sebagai Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd dan Sounchen Timber Sdn. Bhd. Sebagai kontraktor.

Apa yang menghairankan, ia jelas menunjukkan tarikh kuatkuasa yang telah tamat iaitu pada 6 September 2016 dan persoalannya, mengapa syarikat pembalak tersebut masih berkampung di sini?

Selain menjejaskan kawasan suci dan punca pendapatan Orang Asli, pembalakan di kawasan Balah ini juga sangat berhampiran dengan Sungai Jawai yang merupakan sumber air utama penduduk.

Tebang pokok kurang 50 meter langgar undang-undang EIA

img_1073

Hafizudin Nasarudin Presiden Kuasa

Tinjauan dron oleh pertubuhan R Malaysia yang dibuat di kawasan berkenaan menunjukkan jarak antara kawasan penebangan balak dengan sungai kurang dari lima meter dan bercanggah dengan jarak zon pemapan 50 meter seperti yang ditetapkan undang-undang.

Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) Hafizudin Nasarudin yang turut berada di lokasi berkata, jarak kawasan penebangan hutan dengan sungai yang tidak mengikut ketetapan peraturan boleh menyebabkan pencemaran ke atas sungai berhampiran.

“Sepatutnya Jabatan Perhutanan patut pantau aktiviti penebangan hutan jika berhampiran kawasan sungai, kolam dan sebagainya,” ujar beliau. -Roketkini.com