Berita

Cadangan SPR di Johor bercanggah undang-undang, DAP fail 17 bantahan

JOHOR BAHRU, 14 OKT: DAP telah memfailkan 17 bantahan terhadap syor persempadanan semula kawasan pilihanraya di Johor semalam berikutan ia menampakkan pembahagian tidak sekata yang ketara dan bercanggah dengan undang-undang.

Pengarah Pilihan Raya DAP Johor, Tan Hong Pin, berkata sub-seksyen 2(c) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan menyatakan bilangan pemilih di setiap kawasan pilihan raya perlu lebih kurang sama, namun ia tidak dipatuhi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam cadangannya.

Beliau menjelaskan, terdapat hampir 1.65 juta pemilih di seluruh negeri Johor dengan purata 63, 428 pemilih bagi setiap bahagian pilihan raya persekutuan, namun kawasan Gelang Patah mempunyai pemilih seramai 112,081 orang.

“Sedangkan, Pagoh cuma mempunyai pengundi seramai 36,387 orang. Dalam erti lain, bilangan pengundi di Gelang Patah adalah 3 kali ganda dari pemilih di Pagoh.

Ini jelas bertentangan dengan apa yang telah jelas dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Menurut Adun Mengkibol itu lagi, hampir semua bahagian Parlimen di Johor gagal mematuhi kehendak sub-seksyen 2(c) bahawa kadar 15 peratus perlu digunakan sebagai kadar perbandingan bagi perbezaan antara jumlah pemilih di setiap kawasan.

Perkara sama berlaku kepada bahagian DUN apabila Skudai mempunyai 69,132 pemilih manakala Bukit Kepong cuma mempunyai pemilih seramai 15,795 orang. Ia bermakna jumlah pemilih di Skudai adalah 4.38 kali ganda dari jumlah di Bukit Kepong.

“Dalam PRU ke-13 yang lalu, Barisan Nasional mengekalkan kuasa pemerintahan walaupun hanya mendapat 47 peratus undi popular,” kata Hong Pin.

“Jika cadangan persempadanan semula kali ini diluluskan, tidak mustahil Barisan Nasional akan mengekalkan kedudukan pemerintahannya walaupun mendapat kurang dari 40 peratus undi popular.”

Pada masa sama, beliau berkata cadangan SPR yang diterbitkan pada 15 September itu tidak memberi pendedahan penuh terhadap semua maklumat yang diperlukan oleh semua pihak untuk mengkaji dan membentangkannya.

“Kita tidak ada masa yang mencukupi untuk menyediakan bantahan kerana kekurangan maklumat dan kesukaran yang dihadapi ketika melayari laman web SPR,” ujarnya, kesal. – Roketkini.com