Berita

Tak logik pengundi DUN lebih ramai daripada Parlimen, Pakatan kemuka bantahan

IPOH, 14 OKT: Pakatan Harapan Perak hari ini mengemukakan 33 bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang didakwa tidak mencerminkan amalan demokrasi dan Perlembagaan negara.

“Cadangan Persempadanan semula kali ini yang bertarikh 14 September 2016 adalah berat sebelah, bersifat perkauman, melanggar prinsip ‘satu orang, satu undi’ serta bercanggah dengan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh yang demikian (cadangan berkenaan) adalah wajib dibantah,” tegas Pakatan Harapan Perak dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nor Manuty; dan Pengerusi Amanah Perak, Asmuni bin Awi.

20 daripada kesemua bantahan yang dikemukakan adalah daripada DAP, manakala 7 daripada PKR dan selebihnya daripada Amanah.

Menurut kenyataan itu, mengikut cadangan persempadanan semula agensi pengendali pilihan raya berkenaan, terdapat lebih 16 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai bilangan pengundi melebihi kawasan Parlimen.

“Sebagai contoh, DUN Manjoi mempunyai bilangan pengundi 50,812, sebaliknya Parlimen Padang Rengas hanya mempunyai 27,790 pengundi.

“Kerusi DUN mempunyai lebih ramai pengundi dari Parlimen adalah tidak logik. Justeru, keadaan ini wajib diperbetulkan,” kata kenyataan itu.

Malah, kata kenyataan itu lagi, terdapat beberapa kawasan DUN yang mempunyai perbezaan bilangan pengundi yang amat ketara meskipun Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan hal seumpama itu berlaku.

“Di antara 59 kerusi DUN Negeri Perak wujud perbezaan bilangan pengundi lebih dari empat kali ganda walaupun Jadual Keimg-20161014-wa0006tiga Belas Perlembagaan Persekutuan menetapkan semua persempadanan semula perlu mempunyai jumlah bilangan pengundi yang lebih kurang sama.

“Contohnya kerusi DUN Manjoi mempunyai 50,812 pengundi sebaliknya DUN Kota Tampan dan DUN Trong, masing-masing hanya mempunyai 11,990 dan 12,987 pengundi,” katanya.

Selain itu, Pakatan Harapan Perak juga mendakwa SPR telah melanggar undang-undang kerana tidak menyediakan peta lokasi yang jelas dalam cadangan persempadanan berkenaan.

Sementara itu, di Johor, DAP telah memfailkan 17 set bantahan kepada SPR manakala DAP Selangor turut menghantar bantahan ke Ibu Pejabat SPR negeri semalam dan hari ini.

Hari ini merupakan hari terakhir untuk wakil rakyat di setiap kawasan DUN dan Parlimen menghantar borang bantahan kepada pihak SPR.

Parti-parti Komponen BN yang sebelum ini dilihat turut membantah cadangan SPR itu, sehingga kini hanya menghantar satu borang bantahan di Pasir Salak.

Dalam pada itu, Pakatan Harapan Perak turut mengingatkan bahawa mereka mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didapati membantu kemenangan UMNO dalam pilihan raya dengan cara yang kotor.

“Pakatan Harapan berhak untuk membawa tindakan undang-undang terhadap semua pihak yang bertanggungjawab supaya sistem demokrasi berparlimen negara kita dapat dijaga dan tidak dimusnahkan oleh anasir anti-demokrasi yang begitu ghairah membantu UMNO mengekalkan kuasa,” katanya.

Harapan Perak turut mencabar UMNO untuk menyatakan bantahan jika benar tidak bersetuju dengan cadangan SPR itu.

“MCA, MIC dan GERAKAN turut digesa jangan terus berlakon kerana rakyat kian memahami usaha licik mereka yang cuba mencabul hak demokrasi seluruh 1.407 juta orang pengundi di negeri Perak,” tambahnya. – Roketkini.com