Berita

DAP Johor sedia hadapi pilihan raya negeri berasingan

KLUANG, 17 OKT: DAP sedia berdepan dengan pilihan raya negeri Johor yang dijangka akan diadakan berasingan dalam waktu terdekat ini, malah yakin bahawa semua anggota Pakatan Harapan mampu menggembleng sepenuh tenaga bagi menghadapinya.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata parti itu telah menjangkakan kemungkinan berlakunya pilihan raya negeri awal sebelum ini lalu mewujudkan sebuah jawatankuasa persediaan pilihan raya di Johor.

Menurutnya, jangkaan itu didasari pelbagai faktor, termasuk sentimen negatif terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di kalangan rakyat negeri berkenaan.

Ia jelas terbukti dengan tinjauan Merdeka Centre di kawasan Kluang yang menunjukkan 65% pengundi di sana tidak berpuas hati dengan prestasi Najib. Malah, di kalangan orang Melayu, bilangan mereka yang tidak berpuas hati (50%) adalah lebih tinggi dari yang berpuas hati (42%).

“Di kalangan kakitangan kerajaan dan badan berkanun yang biasanya lebih cenderung menyokong kerajaan, 45% tak berpuas hati dengan prestasi Najib, berbanding hanya 42% yang berpuas hati,” katanya dalam satu kenyataan.

Perkara itu, katanya, berbeza dari tinjauan yang dilakukan pada Februari 2013 yang lalu, di mana Najib mendapat respon positif sebanyak 59%.

“Ini menunjukkan terdapat perubahan persepsi yang besar terhadap Najib dalam tempoh tiga tahun.

“UMNO Johor amat sedar akan persepsi negatif terhadap Najib yang berpotensi membawa kejatuhan kerajaan BN pada pilihan raya,” jelasnya.

Chin Tong berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar The Star semalam bahawa majoriti wakil rakyat UMNO Johor menyatakan sokongan untuk pilihan raya negeri yang berasingan dalam satu komunikasi kumpulan dalaman parti itu.

Sokongan itu berpunca daripada kebimbangan akan diseret dengan skandal memalukan Najib yang semakin didedahkan badan-badan antarabangsa, serta bagi mencegah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti barunya menjadi kuasa pilihan raya utama di Johor.

Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang berkata, UMNO amat takut dengan potensi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Muhyiddin dalam mewujudkan gelombang pilihan raya di kalangan penyokong yang sebelum ini setia dengan parti itu.

Tambahnya, wujud rasa panik juga di kalangan pemimpin UMNO berikutan perpindahan Adun Jorak, Datuk Shahruddin Salleh ke Parti Bersatu yang menyebabkan Barisan Nasional hilang majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri.

“Adalah satu mitos mengatakan pihak pembangkang telah tewas apabila UMNO Johor dan Khaled Nordin ‘berjaya’ sebagai kerajaan.

“Pada minggu dan bulan akan datang, kita akan terus mencabar Khaled Nordin dalam dasar-dasar kerajaan negeri yang mengecewakan rakyat seperti pengangkutan awam, pengurusan air, gelembung hartanah dan krisis perumahan,” katanya.

Chin Tong yakin bahawa politik Johor sedang berada dalam masa yang dinamik dan pihak pembangkang mampu melakukan yang terbaik bagi memenangi hati pengundi-pengundi di negeri itu. – Roketkini.com