Rencana

Sebelum kritik ekonomi Pulau Pinang, Gerakan wajar hadiri kelas Ekonomi 101

Gerakan wajar menghadiri kursus asas Ekonomi 101 sebelum memberi syarahan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Saya merujuk kepada laporan akhbar The Star Ask Rahman Dahlan for help, Penang told dan ‘Learn economics from Rahman Dahlan, Gerakan tells Guan Eng minggu lalu berhubung sidang media oleh Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Meng berkenaan statistik keluaran dalam negeri kasar (KDNK) per kapita Pulau Pinang.

Pada sidang media tersebut, beliau mengkritik kerajaan negeri Pulau Pinang untuk kadar pertumbuhan KDNK per kapita yang rendah sejak 2007. Beliau juga mencadangkan agar Ketua Menteri, Lim Guan Eng belajar cara menguruskan ekonomi dari menteri yang bertanggungjawab ke atas Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Saya ingin mengemukakan tiga perkara penting sebagai respons:

  1. Setiausaha Agung Gerakan perlu belajar bagaimana untuk menggunakan data dan pengiraan yang betul

Data dari Gambarajah 1 di bawah telah digunakan oleh Liang bagi menunjukkan kononnya kadar pertumbuhan KDNK per kapita Pulau Pinang dari 2007 hingga 2015 adalah yang terendah dalam negara.

jadual-1

                                                                          Gambarajah 1

Saya tidak pasti mengapa Liang menggunakan data Jabatan Statistik (DOS) bagi tahun 2011 sedangkan wujud data yang telah dikemaskini oleh DOS seperti dalam Gambarajah 2. Saya ingin menjelaskan bahawa KDNK per kapita bagi tahun 2007 untuk Terengganu dan Sabah adalah 19,476 dan 14,104 – lebih tinggi dari data yang digunakan oleh Liang.

jadual-2

                                                                      Gambarajah 2

Jika statistik DOS dalam Gambarajah 2 digunakan, negeri dengan kadar pertumbuhan KDNK per kapita terendah dari 2007 hingga 2015 adalah Terengganu (36.2%), diikuti oleh Sabah (40%) dan bukannya Pulau Pinang (42%). Malah, ramai tertanya-tanya mengapa Liang tidak menggunakan tahun asas 2008 (berbanding 2007) kerana ia merupakan tahun peralihan kerajaan negeri Pulau Pinang. Jika data pertumbuhan KDNK dari tahun 2008 hingga 2015 digunakan, Sabah mendapat kedudukan terendah dengan 13% diikuti oleh Sarawak (19%) dan Terengganu (26%) sedangkan Pulau Pinang memperoleh 33%.

  1. Gerakan harus memuji kerajaan negeri kerana berjaya menyelamatkan Pulau Pinang dari kemelesetan ekonomi serius pada 2008

Liang juga gagal melihat bahawa salah satu faktor mengapa KDNK per kapita Pulau Pinang tidak mengalami kadar pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain adalah disebabkan krisis kewangan global 2008 yang memberi kesan besar kepada negeri itu.

Pada 2009, ekonomi Pulau Pinang menguncup sebanyak 10.5% akibat krisis kewangan global, di mana kerajaan negeri Pulau Pinang tidak ada kawalan ke atasnya.

jadual-3

                                           Gambarajah 3

Ekonomi Pulau Pinang lebih teruk berbanding negeri-negeri lain kerana negeri itu lebih terdedah kepada perdagangan antarabangsa. Ekonomi Malaysia secara keseluruhan hanya menguncup sebanyak 1.5% (lihat Gambarajah 3).

 

Kerajaan negeri Pulau Pinang terpaksa bekerja keras untuk memulihkan ekonomi negeri dari krisis serius ini, dan telah berjaya dengan keputusan yang baik. Dari 2010 hingga 2015, kadar pertumbuhan KDNK Pulau Pinang adalah lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk setiap tahun kecuali 2012. (Lihat Jadual 1). Malah, kadar pertumbuhan KDNK Pulau Pinang juga lebih tinggi dari Sabah untuk semua tahun.

 

  1. Gerakan perlu bertanya kepada Rahman Dahlan mengapa KDNK dan kadar pertumbuhan KDNK Sabah adalah antara yang terendah dalam negara

Data KDNK per kapita selepas krisis kewangan global menunjukkan hal yang berbeza. Kadar pertumbuhan KDNK per kapita bagi Pulau Pinang dari 2010 hingga 2015 adalah 33% atau peningkatan mendadak sebanyak RM11,250 (daro RM33,597 kepada RM44,847).

jadual-1-0

                                                  Jadual 1

Pulau Pinang berada di kedudukan keenam berbanding negeri-negeri lain di Malaysia. Secara kontranya, Sabah berada di kedudukan terendah dengan peningkatan KDNK per kapita hanya 11% (dari RM17,831 kepada RM19,734) seperti di Jadual 2.

Pada masa sama, KDNK per kapita Pulau Pinang adalah ketiga tertinggi pada 2015 – selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM94,722) dan Wilayah Persekutuan Labuan (RM58,577). Manakala Sabah berada di kedudukan ketiga terendah selepas Kelantan (RM12,075) dan Kedah (RM18,249).

jadual-2-0

                                 Jadual 2

Daripada meminta Lim Guan Eng belajar ekonomi dari Rahman Dahlan, Liang patut bertanya kepada Rahman Dahlan untuk menjelaskan mengapa pertumbuhan KDNK dan KDNK per kapita untuk negeri asalnya, Sabah berada di kedudukan yang rendah.

Amat menyedihkan untuk melihat Gerakan yang pernah mendabik dadanya sebagai parti ‘orang bijak’ menggunakan statistik-statistik lemah dan asas ekonomi yang salah untuk mengkritik prestasi ekonomi kerajaan negeri Pulau Pinang.

Jika rakyat Pulau Pinang tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan negeri, tentulah mereka tidak akan memberi sokongan penuh kepada Pakatan Harapan (67%) semasa pilihan raya umum 2013.

Saya mengesyorkan agar Liang menghadiri kursus asas Ekonomi 101 sebelum beliau memberi kenyataan-kenyataan selanjutnya berhubung isu ekonomi. Saya berbesar hati untuk mengajar beliau dan pemimpin-pemimpin Gerakan yang lain. – Roketkini.com

*Dr Ong Kian Ming merupakan Ahli Parlimen Serdang merangkap Penolong Setiausaha DAP Selangor