Berita

Negara ditadbir ‘Perompak, Pencuri & Penyamun’, rakyat mesti rasa jijik dan marah

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Tidak ada orang yang boleh mendakwa dirinya sebagai patriotik, nasionalis atau cintakan Malaysia tanpa berasa jijik dan marah dengan gelaran negara “Perompak, Pencuri & Penyamun” ke atas Malaysia.

Lebih memburukkan keadaan, Speaker Parlimen Malaysia tidak membenarkan semua soalan penyelewengan melibatkan skandal kewangan terbesar negara berkaitan saman Jabatan Kehakiman (DOJ) berhubung asset USD1 billion 1MDB di Amerika Syarikat ditanya di Dewan Rakyat.

refsa5

“Sebagai rakyat Malaysia yang patriotik mesti berasa malu dan marah kerana sejak sidang Parlimen May lalu, Malaysia telah malu menerima label negara kleptokrasi (negara pencuri) berikutan tindakan saman Jabatan  Kehakiman (DOJ) berhubung pembekuan aset 1MDB,” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Menurutnya, skandal antarabangsa 1MDB yang telah memalukan Malaysia itu sepatutnya menjadi perkara pertama dibincangkan dalam Parlimen hari ini.

Namun, keputusan mengejutkan Speaker telah memberikan alasan bahawa perbincangan melibatkan skandal terbesar negara tersebut tidak relevan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata demikian ketika merasmikan Perpustakaan Sosial Demokrasi REFSA malam tadi yang merupakan sebuah badan pemikir bagi pelaksanaan dasar-dasar Demokrasi Sosial.refsa4

“Saya teringat mengenai perpustakaan-perpustakaan agung di zaman kegemilangan tamadun Islam dalam kurun kesembilan-belas yang merupakan era kemajuan sains, agama, falsafah dan pembangunan kebudayaan yang belum pernah tercapai dalam sejarah dunia sebelum dan selepasnya.

“Ada pusat keilmuan di zaman Abbasiyah yang merupakan universiti, perpustakaan, institut penterjemahan dan makmal penyelidikan dalam sebuah kampus,” ujarnya.

Bagaimanapun pusat keilmuan di Baghdad itu musnah dengan tragik dan berakhir dengan penaklukan Mongol manakala segala koleksi buku dan manuskrip yang tersimpan di pusat perkembangan dimusnahkan dengan dibuang ke dalam Sungai Tigris.

“Dari zaman ke zaman, banyak metafor tentang cahaya dan kegelapan mengenai perpustakaan di mana perpustakaan sering digambarkan sebagai kayu pengukur kejayaan dan kegemilangan sesebuah tamadun dan ia umpama cahaya yang keluar apabila ia ditutup.

“Bagaimanapun, zaman gelap sesebuah tamadun bukanlah bermula dari penutupan perpustakaannya tetapi ia berlaku akibat kepincangan prinsip tadbir urus yang baik sesebuah pemerintah,” katanya lagi.

Perpustakaan REFSA yang mendapat julukan “Perpustakaan Dalam Pasar” ini boleh dikunjungi di Tingkat 5, Wisma WenWorth dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang dari Isnin sehingga Jumaat, manakala pada hari Sabtu, ia dibuka bermula jam 10.00 pagi hingga 3.00 petang. – Roketkini.com