Berita

Najib gagalkan Wawasan 2020, rakyat akan terpaksa tunggu 34 tahun lagi

SEREMBAN, 22 OKT: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi menggantikan Wawasan 2020 dalam pembentangan Belanjawan 2017 di Parlimen semalam.

Langkah itu, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, membuktikan bahawa Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan telah gagal dalam merealisasikan visi untuk membawa negara ke arah mencapai status negara maju dalam tempoh empat tahun yang akan datang.

“Setelah menyaksikan 42 pembentangan belanjawan di Parlimen, belanjawan kali ini lah yang paling banyak menarik sindirian pelbagai pihak ekoran dua sebab – pertama kerana ketiadaan kredibiliti dalam belanjawan itu sendiri, dan kedua kerana ketiadaan kredibiliti pada pembentang belanjawan.

“Malah, amat mengejutkan apabila Najib menolak Wawasan 2020 sedangkan dalam pembentangan belanjawan terakhir tahun lepas, beliau telah mengulangi komitmen bersungguh untuk mencapai wawasan itu,” katanya dalam ucapan di majlis makan malam DAP Bukit Kepayang semalam.

Wawasan kerajaan yang dibawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Rancangan Malaysia Keenam pada 1991 itu adalah bertujuan untuk meningkatkan negara menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang 2020.

Namun, usaha hampir dua dekad itu nampaknya tidak akan berjaya dengan usaha penangguhan oleh Najib Razak dengan memperkenalkan wawasannya sendiri melalui TN50.

“TN50, inilah azimat kita mulai kini. Biarlah legasi lama (Wawasan 2020) berlalu pergi. Harapan masa depan Malaysia kita baharui,” ucap Najib di Dewan Rakyat 20 minit selepas pemimpin pembangkang kecuali PAS bertindak keluar dewan beramai-ramai.

Ia sebagai tanda protes terhadap kenyataan Najib yang menolak dakwaan ‘seorang pemimpin pembangkang’ bahawa Malaysia sedang mengharungi ribut ekonomi yang sukar pada tahun ini.

Mereka dilihat turut mengangkat plakad ‘#SiapaMO1’ sambil bergerak keluar ke perkarangan lobi Parlimen selepas dijerkah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang memberi pilihan kepada mereka untuk keluar dewan.

MO1 atau Malaysian Official 1 yang dirujuk secara meluas sebagai Najib adalah antara individu yang disebut dalam tuntutan saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat untuk merampas aset yang diperolehi melalui dana yang diselewengkan daripada 1MDB.

Mengulas lanjut, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata jika Wawasan 2020 terbukti gagal dibawa kerajaan dengan sempurna, post-mortem harus dijalankan bagi mengenal pasti punca terjadinya perkara itu sebelum TN50 dapat dilaksanakan.

“Rakyat Malaysia mempunyai hak untuk tahu mengapa visi 30 tahun Wawasan 2020 telah gagal sebelum mereka dapat menerima visi 34 tahun Najib melalui Transformasi Nasional 2050,” tegasnya. – Roketkini.com