Berita

Belanjawan 2017 terus ketepi Orang Asal di pedalaman Sabah

PENAMPANG, 24 OKT: Masyarakat Orang Asal di Sabah akan terus ketinggalan menikmati kemudahan infrastruktur dan pembangunan lain ekoran pemotongan peruntukan bekalan elektrik luar bandar Sabah seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2017 baru-baru ini.

Kesannya kata Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah Adrian Lasimbang, jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar di Sabah akan semakin melebar.

slide1

Adrian Lasimbang

Menurut beliau, peruntukan yang terlalu tertumpu kepada pembangunan kawasan bandar menunjukkkan kerajaan BN tidak menepati janji mereka kepada masyarakat luar Bandar sebelum ini.

“Usaha membawa bekalan elektrik ke kawasan luar bandar adalah penting dalam memastikan masyarakat Orang Asal yang kebanyakannya tinggal di luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan

“Pengurangan peruntukkan ini menunjukkan ketidakprihatinan dan sikap pandang ringan kerajaan BN terhadap masyarakat luar bandar khasnya masyarakat Orang Asal Sabah,” katanya kepada Roketkini.

Adrian berkata, bekalan elektrik merupakan infrastruktur yang sangat penting dalam memangkin pertumbuhan sosio ekonomi luar bandar khususnya dalam pemprosesan dan pengawetan bahan makanan.

“DAP Sabah mahu melihat usaha yang lebih kukuh oleh kerajaan untuk menangani isu yang dihadapi oleh Orang Asal di luar bandar.

“DAP juga menyeru supaya lebih banyak program bekalan elektrik luar bandar menggunakan teknologi tenaga boleh diperbaharui seperti Mikro Hidro dan Solar PV untuk penyelesaian yang lebih mapan dan mesra alam,” ujarnya lagi. – Roketkini.com