Rencana

Anak muda dan politik

“Beri aku 1,000 orang tua, niscaya akan kucabut semerus dari akarnya. Beri aku 10 pemuda, niscaya akan kuguncangkan dunia.” (Sukarno)

Apabila membicarakan soal penglibatan anak muda dalam kancah politik, umum mengandaikan bahawa anak muda itu sama ada terlalu kritikal atau melecehkan parti politik sama sekali dan sebaliknya lebih cenderung kepada aktiviti bersifat kebudayaan, kesukanan dan kesukarelawanan. Maka tidak hairanlah apabila pendekatan kerajaan dan parti politik dalam mendampingi anak muda akan mengambil bentuk program-program seperti konsert, pertandingan bola sepak dan santai bersama “tweet famous”.

Pandangan sebegini tidak semestinya benar dan merupakan generalisasi sedangkan ketidakcenderungan anak muda dalam organisasi politik bukan sesuatu yang hakiki. Malah, sejak awal lagi penglibatan anak muda dalam gerakan politik tidak dapat disangsikan.

Sejarah penglibatan anak muda dalam politik

Ketika gerakan nasionalisme di Asia Tenggara sedang memuncak pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, anak muda giat memainkan peranan langsung. Contohnya di Filipina, Andres Bonifacio dan Emilio Jacinto hanya berusia 20-an ketika mengasas gerakan nasionalis Katipunan yang melawan penjajah Sepanyol. Rakan seperjuangan mereka dan seorang wanita, Gregoria de Jesus, hanya berusia 21 tahun ketika menyertai gerakan tersebut pada 1896. Manakala Emilio Aguinaldo pula berusia 29 tahun apabila bendera Republik Filipina dikibarkan buat julung kali pada tahun 1898 dan beliau diangkat menjadi presiden pertama negara tersebut. Tokoh nasionalis terkemuka Filipina, José Rizal, pula mengarang bukunya yang sangat berpengaruh, Noli Me Tangere (1887) ketika beliau berusia 25 tahun.

Di Burma, gerakan nasionalismenya juga diterajui pada awalnya oleh organisasi anak muda seperti Young Men’s Buddhist Association (YMBA) yang menganjurkan bantahan terhadap Akta Universiti Rangoon 1920 yang digubal penjajah British untuk mengekang kebebasan pelajar. Ekoran daripada itu, ahli-ahli YMBA menubuhkan parti-parti politik atas dasar nasionalisme untuk menuntut kemerdekaan. Antara individu penting ketika itu adalah Aung San, tokoh nasionalis Burma. Pada tahun 1938, beliau meninggalkan kampus dan menyertai politik ketika berusia 23 tahun dan menjadi presiden parti Anti-Fascist People’s Freedom League pada tahun 1946. Beliau kemudian mengetuai rundingan dengan pihak British dan berjaya menandatangani perjanjian yang menjaminkan kemerdekaan Burma. Malangnya, sebelum sempat melihat hasil usahanya, beliau dibunuh pada tahun 1947 ketika berusia 32 tahun.

Begitu juga halnya di Indonesia, di mana gerakan nasionalisme tidak dapat dipisahkan daripada Kongres Pemuda-pemuda Indonesia pada tahun 1928. Selain berkumandangnya lagu kebangsaan Indonesia Raya buat kali pertama, kongres tersebut juga terpahat dalam sejarah kerana ikrar “Sumpah Pemuda” yang dilafazkan bagi menzahirkan citra Indonesia yang kekal sehingga ke hari ini, iaitu penyatuan bahasa, bangsa dan tanahair. Sesungguhnya, penglibatan kaum muda dalam pergerakan kemerdekaan begitu ketara sehingga Benedict Anderson menggelarkannya sebagai “Revolusi Pemuda”.

Di Malaysia, anak muda tidak kurang jasa baktinya. Sebagai contoh, Saberkas yang merupakan antara gerakan nasionalis pertama di tanahair kita telah ditubuhkan di Kedah semasa zaman Perang Dunia Kedua. Ia merupakan gerakan bawah tanah yang mengambil bentuk koperasi, iaitu Syarikat Bekerjasama Am Saiburi, namun singkatan tersiratnya adalah “sayang akan bangsa, ertinya redha korban apa segala”. Pengasas gerakan ini merupakan anak muda termasuk Khir Johari, Senu Abdul Rahman, Abdul Aziz Zain dan ramai lagi di bawah naungan seorang putera raja Kedah, Tunku Abdul Rahman Putra.

Di samping memberi perlindungan kepada mangsa landasan kereta api maut Burma yang berjaya melarikan diri ke Kedah, Saberkas juga telah menganjurkan wayang bangsawan di serata Kedah dan Perlis bagi meniupkan semangat nasionalisme rakyat melalui pentas seni. Semasa kelompangan selama dua minggu selepas tentera Jepun menyerah kalah pada tahun 1945 dan sebelum kembalinya penjajah British, anak muda Saberkas juga memainkan peranan penting dengan menjaga keselamatan orang kampung daripada serangan komunis Bintang Tiga. Ekoran pewujudan Malayan Union pada tahun 1946, Saberkas telah menyertai UMNO dan ramai di antara ahlinya kemudian menjadi pemimpin-pemimpin utama negara.

Selain di Kedah, peranan anak muda dalam gerakan nasionalisme Melayu di peringkat kebangsaan juga terserlah. Sebagai contoh, Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang merupakan gerakan politik kebangsaan yang pertama di negara kita telah diasaskan oleh Ibrahim Yaacob dan Ishak Haji Muhammad yang masing-masing berusia hanya 27 tahun dan 29 tahun pada tahun 1938. Komposisi penggerak KMM juga terdiri daripada golongan anak muda seperti pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris, Kolej Pertanian, Sekolah Teknik Kuala Lumpur, wartawan dan siswazah. Walaupun akhirnya disekat dan ditindas oleh penjajah British, sumbangan KMM terhadap kesedaran nasionalisme di peringkat kebangsaan tidak boleh dinafikan.

Depolitisasi anak muda

Namun, sebagaimana di bahagian lain dunia, pembangunan negara pada zaman pasca-kolonial menimbulkan keperluan untuk menghasilkan lebih banyak modal insan ekonomi berbanding aktivis politik. Maka di Malaysia, anak muda yang dahulunya menjadi pengasas parti politik kini diasingkan dalam sayap pemuda dan wanita, lantas menyempitkan skop dan peranan mereka dalam konteks kebangsaan. Di universiti yang lumrahnya menjadi medan perkembangan kesedaran politik anak muda pula, undang-undang diperkenalkan bagi menyekat aktivisme mahasiswa dalam parti politik bagi memastikan mereka yang semakin besar bilangannya dapat dikawal dan dikerahkan untuk proses industrialisasi negara.

Maka, parti-parti politik semakin dipenuhi oleh golongan tua dan proses pertumbuhan semula (regeneration) berlaku dengan amat perlahan. Pada masa yang sama, semakin sukar untuk anak muda mendaki hieraki dalam parti politik kerana terbenamnya elit-elit lama yang sangat sukar untuk melepaskan jawatan mereka. Trend ini amat malang sekali dan sebenarnya bercanggah dengan perkembangan di serata dunia, khususnya di Eropah, di mana penglibatan anak muda dalam arus perdana politik makin rancak.

Pada tahun 2010 di United Kingdom, umpamanya, tiga orang yang berusia awal 40-an telah berjaya dipilih sebagai perdana menteri, timbalan perdana menteri dan ketua pembangkang. Sweden mempunyai beberapa menteri yang dilantik pada usia 20-an sementara menteri luar negeri Austria kini berusia hanya 30 tahun (beliau dilantik pada tahun 2013 ketika berusia 27 tahun). Beberapa tahun lepas, saya sendiri pernah berjumpa dengan seorang menteri kewangan Serbia yang pada ketika itu berusia kurang daripada 30 tahun. Saya juga berkenal dengan seorang rakan ahli parlimen di United Kingdom yang lebih muda daripada saya dan kini menjawat sebagai menteri muda dalam kementerian pembangunan antarabangsa.

Justeru, sementara negara-negara barat kian memberi peluang dan tanggungjawab kepada anak muda sebagai pemimpin politik, di Malaysia anak muda terpaksa berhadapan dengan pelbagai rintangan. Maka sebab itulah anak muda di negara ini secara perlahan-lahan beralih daripada gerakan siasah sehingga mengukuhkan andaian bahawa anak muda tidak minat dengan politik.

Perubahan dan pembaharuan

Akan tetapi, hal ini mula berubah semenjak kebelakangan ini, khususnya sejak peristiwa “tsunami politik” pada tahun 2008. Pada pilihan raya umum tahun tersebut, ramai anak muda dari parti pembangkang berjaya dipilih sebagai wakil rakyat, baik di parlimen atau di dewan-dewan undangan negeri.

Dengan tambahnya suara anak muda dalam dewan-dewan perundangan negara, maka agenda pembaharuan dapat dipacu sehingga kerajaan pun terpaksa akur dan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 bagi membenarkan penglibatan mahasiswa dalam parti politik.

Dalam kebangkitan anak muda yang sedang berlaku ini, tampaknya parti pembangkang merupakan pihak yang paling beruntung kerana menjadi pilihan yang alami buat anak muda dek kerana hierarki parti yang lebih mendatar dan kurang menegak berbanding parti-parti kerajaan, serta keterbukaan parti-parti pembangkang kepada agenda pembaharuan.

Kini, parti pembangkang di Malaysia memiliki ahli parlimen paling muda di negara ini sementara parti pemerintah memiliki ahli parlimen paling tua. Hakikatnya, parti-parti pembangkang mampu membariskan ramai wakil rakyat dalam lingkungan usia 20-an, 30-an dan awal 40-an pada semua peringkat – Dewan Negara, Dewan Rakyat, Dewan-dewan Undangan Negeri serta majlis-majlis kerajaan tempatan, manakala amat sukar untuk mencari pemimpin muda dalam kalangan parti pemerintah.

Dengan hampir tiga perempat populasi negara kita terdiri daripada anak muda bawah 40 tahun, jelas golongan ini akan menjadi penentu masa depan negara, baik dari segi ekonomi, sosial atau politik. Justeru, usaha untuk menarik perhatian dan penyertaan anak muda bakal menjadi persaingan yang kritikal dalam kancah politik negara kita. Maka, mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan ke atas demografi ini tidak boleh sekadar bercakap soal peremajaan yang bersifat kulit-kulitan tetapi perlu memberi tumpuan kepada isu dan polemik sebenar anak muda serta memberdayakan mereka sebagai pembuat keputusan. Sesungguhnya, masa depan berada di tangan anak muda. – Roketkini.com

*Zairil Khir Johari merupakan Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Penolong Setiausaha Publisiti DAP