Berita

Kerajaan buat bodoh skandal 1MDB, Husni Hanadzlah pula diserang persoal kebenaran?

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Reaksi terhadap ucapan perbahasan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah di Parlimen Selasa lalu yang membangkitkan beberapa persoalan kritis terhadap skandal mega 1MDB tidak memeranjatkan.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa pula membakulsampahkan ucapan Husni dengan berkata bahawa tiada apa-apa yang baru diutarakan bekas menteri itu dalam siri persoalannya berkenaan skandal 1MDB.

“Saya terkejut dengan komen Annuar, memandangkan saya mengikuti dengan rapat kisah memilukan skandal 1MDB ini sepanjang tujuh tahun lalu.

“Setahu saya inilah kali pertama Husni menyuarakan keresahannya mengenai skandal mega global 1MDB kepada khalayak umum,” kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengulas perbahasan terbabit.

Dalam ucapan tersebut, buat kali pertama Husni memberi amaran bahawa skandal 1MDB akan menghantui kerajaan Malaysia.

Ini termasuklah persoalan kehilangan dana berjumlah US4 bilion syarikat Aabar BVI, saman arbitrasi US$6.5 bilion IPIC berpangkalan di Abu Dhabi dan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Pencek (KWAP) kepada anak syarikat 1MDB, SRC International.

“Apa yang lebih memeranjatkan dalam pendedahan Husni di Parlimen itu ialah, meskipun beliau merupakan menteri paling setia dan profesional dengan KPI terbaik di kalangan menteri-menteri, beliau difitnah oleh cybertrooper UMNO di media sosial selepas meninggalkan Kabinet,” ujar Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi.

Dalam ucapannya Husni berkata, “…the social media, dua hari selepas saya berhenti, dia punya attacking kepada saya for no reason and I know who the “A”, “B”, “C” yang attack saya. Why play this game? Let us love the rakyat. Kita bekerjalah untuk rakyat.”

Semalam, blogger terbuang Raja Petra Kamaruddin juga melancarkan serangan peribadi terhadap Husni, dengan memetik tuduhan-tuduhan salahlaku seks, malah menuduh Ahli Parlimen Tambun itu tidur dengan isteri orang.

Parlimen Malaysia dilihat sedang bersandiwara dengan berlagak seolah-olah masalah melibatkan kleptokrasi dalam negara tidak wujud sama sekali.

Kit Siang justeru mengingatkan seluruh Ahli Parlimen bahawa mereka bertanggungjawab untuk bersatu dan membersihkan negara daripada gelaran kleptokrasi global gara-gara saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) untuk menyita harta terkait wang curi melibatkan 1MDB.

“Kecualilah jika kerajaan UMNO telah memutuskan bahawa tidak mungkin untuk Malaysia membersihkan diri daripada tuduhan tersebut, sehingga pilihan yang ada cumalah untuk berlakon seolah-olah ia langsung tidak terjadi.

“Adakah negara telah mencapai tahap yang begitu menyedihkan ini?” soal Kit Siang.

Sejak Dewan Rakyat bersidang awal minggu lalu, Kit Siang telah memboikot sesi pertanyaan menteri apabila Speaker memutuskan untuk menghalang perbahasan berkait saman sivil DOJ dengan alasan ia adalah sub judis dan boleh mempengaruhi kes di Amerika Syarikat. – Roketkini.com