Berita

DAP siap siaga tawan kerusi pedalaman Sabah, terajui pembangunan ekonomi tempatan

SOOK, 1 NOV: Sudah tiba masanya rakyat di pedalaman Sabah melakukan perubahan kerana pemimpin sebelum ini gagal melaksanakan tugas untuk membawa pembangunan dan kemajuan ekonomi tempatan.

Dakwaan ini terbukti setelah dua penggal diterajui wakil rakyat yang sama, namun kawasan Sook dan Pensiangan jauh ketinggalan untuk menikmati kemudahan infrastruktur asas yang baik termasuk elektrik dan air bersih.

Lebih menyedihkan, kawasan Pensiangan kini menduduki di tempat kedua termiskin di Sabah selepas Pitas.

Demi pembangunan dan kemajuan rakyat kawasan ini, DAP Sabah mengorak langkah membuka sebuah lagi Pusat Khidmat Masyarakat DAP Pensiangan.

slide1

Lim Kit Siang ketika merasmikan Pusat Khidmat DAP Pensiangan.

Perasmian pusat khidmat itu turut menyaksikan penyerahan borang keahlian DAP dan penubuhan Ahli Jawatankuasa Penaja bagi tiga buah cawangan  iaitu DAP Cawangan Tulid, DAP Sool dan DAP Pekan Nabawan dengan jumlah keahlian 480 orang 29 Oktober baru-baru ini.

Majlis penyerahan borang disaksikan oleh Ketua Paerlimen DAP Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong Tien Fatt.

Dalam ucapannya, Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong Tien Fatt telah mengumumkan hasrat DAP Sabah untuk meletakkan calonnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 bagi kawasan Parlimen Pensiangan dan Parlimen Keningau.

“Kami juga menyokong usul ahli DAP Sook untuk turut bertanding bagi Dewan Undangan Negeri Sook dan Tulid demi perubahan dan kemajuan rakyat di sini,” kata Ahli Parlimen Sandakan itu.

Ketua Penyelaras DAP Pensiangan yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah, Adrian Banie Lasimbang, ketika menyampaikan taklimat berkata pusat khidmat tersebut telah pun mula beroperasi sejak Ogos 2016 manakala manakala satu lagi Pusat Khidmat DAP di Nabawan sudah beroperasi sejak Julai di kawasan tersebut.

“Penubuhan pusat khidmat ini adalah antara usaha DAP Pensiangan dan DAP Sabah untuk mempersiapkan jentera bagi Pilihan Raya Umum ke-14,” kata Adrian.

Penyelaras DAP Sook, Clare Taunek berkata, DAP telah mula menjalankan aktiviti kemasyarakatan di Pensiangan sejak 2015 melalui program-program Impian Sabah.

“Kita telah menganjurkan program Kem Kesihatan, Projek  Bekalan Air Graviti, pembaikan bangunan balai raya, projek bekalan elektrik melalui micro hidro dan banyak lagi,” ujar Clare.

Program DAP Sabah bersama Lim Kit siang terlebih dahulu berada di Mukim Bunga Raya yang terletak di Parlimen Keningau.

Dalam majlis itu, Kit Siang merasmikan projek air graviti yang dilaksanakan Impian Sabah dengan kerjasama penduduk di lima buah kampung mukim berkenaan.

Antara kampung yang mendapat manfaat dari projek ini adalah seperti Kampung Bunga Raya, Kampung Melidang, Kampung Kodop, Kampung Tonobon Baru, dan Kampung Na’aba.

Projek itu hanya akan menelan belanja RM250,000 dan bakal memberi manfaat kepada lebih kurang 1,500 penduduk.

“Projek kecil seperti ini memberi makna yang sangat besar kepada penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar yang masih belum mendapat sumber air bersih.

“Jika kerajaan betul-betul prihatin terhadap penduduk luar bandar, masalah seperti ini tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi kes rasuah yang berlaku baru-baru ini dalam Jabatan Air Negeri,” kata Kit Siang dalam majlis tersebut. -Roketkini.com