Berita

Kakitangan awam, rakyat Selangor tuai hasil urustadbir baik 8 tahun kerajaan Pakatan

SHAH ALAM, 1 NOV: Hasil urustadbir pentadbiran yang baik, kerajaan Pakatan Selangor hari ini mengumumkan sebanyak RM3.45 bilion bagi Belanjawan 2017 meliputi RM1.8 billion bagi peruntukan pembangunan manakala RM1.65 billion bagi pengurusan.

Belanjawan 2017 Selangor ini merupakan belanjawan terbesar yang mencatat sebanyak 52 peratus peruntukan kepada pembangunan manakala sekitar 48 peratus kepada belanja pengurusan.

Peruntukan 52 peratus kepada pembangunan Selangor itu jauh meninggalkan belanjawan persekutuan yang hanya memperuntukkan 18 peratus belanjawan pembangunan dan selebihnya kepada perbelanjaan mengurus.

Kejayaan urustadbir baik kerajaan Pakatan Selangor ini juga turut tidak melupakan pengorbanan kakitangan awam dan rakyat negeri itu.

Dalam ucapannya, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengumumkan pemberian bantuan khas sebanyak dua bulan gaji dengan peruntukan sebanyak RM57.25 juta kepada penjawat awam negeri itu.

Pemberian bonus dua bulan itu dibuat bertujuan bagi membantu kakitangan awam negeri itu membuat persediaan awal sesi persekolahan anak-anak tahun hadapan.

Beliau berkata bonus dua bulan itu juga adalah sebagai penghargaan kerajaan negeri terhadap kakitangannya.

“Pembayaran satu setengah bulan dilakukan pada 1 Julai lalu. Untuk melengkapi bantuan khas kewangan tersebut, setengah bulan lagi akan dibayar pada 20 Disember untuk membantu penjawat awam membuat persediaan persekolahan anak,” katanya di Dewan Negeri Selangor.

Adun Damansara Utama Yeo Bee Yin ketika dihubungi Roketkini berkata, kepentingan urustadbir yang baik adalah amat penting bagi menjamin amanah terhadap rakyat terbela.

“Apabila kakitangan awam berjaya memastikan wujudnya ketelusan dan bertanggungjawab, kerajaan negeri akan mempunyai kedudukan kewangan yang baik dan mampu member lebih daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Adun Kampung Tunku Lau Weng San berkata, bonus dua bulan gaji ini juga sebagai dorongan kepada kakitangan awam negeri untuk terus bekerja keras dan member yang terbaik kepada rakyat Selangor.

Selain pemberian bonus, kerajaan Selangor juga mencatat sejarah apabila mampu memperuntukkan sebanyak RM125 juta bagi skim Peduli Sihat yang merupakan insuran kesihatan kepada rakyat berpendapatan di bawah RM3,000.

Menerusi skim ini, sebanyak 250,000 keluarga atau sekitar satu juta rakyat Selangor akan mendapat manfaat.

Mengulas cadangan itu, Adun Bukit Gasing Rajiv Risayakaran berkata skim kesihatan kerajaan Selangor ini adalah yang pertama dilaksanakan berbanding negeri-negeri lain dan ia amat membantu golongan berpendapatan rendah.

“Semua peruntukan yang member manfaat kepada rakyat Selangor ini adalah hasil dari perbelanjaan berhemah sepanjang lapan tahun Pakatan mentadbir Selangor.

“Skim ini mampu mengisi ruang kegagalan Putrajaya menyediakan penjagaan kesihatan yang lebih baik dan berpatutan,” katanya. – Roketkini.com