Berita

Kalau edar risalah BERSIH salah, bagaimana dengan risalah ‘Ah Long’?

KOTA KINABALU, 11 NOV: DAP Sabah mengecam tindakan polis menahan Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah di Kota Marudu baru-baru ini menyifatkan penahanan itu sebagai mengarut dan salah guna kuasa.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah Adrian Banie Lasimbang berkata polis perlu menghentikan salah guna kuasa tersebut dan memberi keutamaan terhadap keamanan dan keselamatan rakyat.

slide1

Adrian Lasimbang

“Tindakan menahan Maria ketika mengedarkan risalah adalah mengarut.

“Jika ia menjadi kesalahan, polis juga perlu menahan ‘Ah Long’ yang banyak mengedarkan risalah skim pinjaman wang mereka yang menipu orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan kepada Roketkini.

Beliau berkata DAP Sabah akan terus bersolidariti dengan Bersih 2.0 dan menegaskan komitmen untuk Bersih 5 berlandaskan prinsip menegakkan hak-hak Perlembagaan dan sivil di Malaysia.

Maria Chin ditahan pada 29 Oktober lalu ketika mengedarkan risalah Bersih 5 di Langkon, Kota Marudu. Beliau kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Marudu untuk disoal siasat dan dibebaskan pada petang hari berkenaan dengan jaminan polis.

Himpunan Bersih 5 akan diadakan pada 19 November ini di tiga buah lokasi di seluruh negara iaitu Dataran Merdeka Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.

Lima tuntutan yang diperjuangkan Bersih pada kali ini ialah Pilihan Raya Bersih, Kerajaan Bersih, Kukuhkan Demokrasi Berparlimen, Hak Membantah dan Memperkasa Hak Sabah dan Sarawak. –Roketkini.com