Berita

Kerajaan naikkan harga minyak selepas gula-gulakan rakyat dengan BR1M

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Harga minyak naik lagi, kali ini dengan kadar 15 sen sekata bagi setiap jenis minyak RON 95, RON 97 dan diesel, sekali gus mencatatkan kenaikan tertinggi setakat ini berbanding kenaikan 10 sen bagi petrol dan 5 sen bagi diesel pada bulan lepas.

Harga baru RON 95 ditetapkan pada RM1.95 seliter, RON97 pada RM2.30 seliter dan diesel pada RM1.90 seliter, bermula tengah malam tadi. Manakala, sejak Mac tahun ini harga diesel telah meningkat sebanyak 48 peratus, RON 95 (22 peratus) dan RON 97 (18 peratus).

Kenaikan itu ditetapkan meskipun agensi berita antarabangsa, Reuters, semalam melaporkan harga minyak sedang mengalami penurunan sejak sebulan.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari ketika dihubungi Roketkini bagi mengulas kenaikan itu berkata, sistem apungan terkawal yang diperkenalkan kerajaan sejak subsidi minyak dihapuskan bermula Disember 2014 telah menimbulkan pelbagai keraguan.

“Ia (sistem apungan kawalan) menggunakan purata bulanan perubahan kos petroleum dan kadar pertukaran mata wang Ringgit Malaysia dan Dolar Amerika Syarikat dalam bulan sebelum. Formula ini akan menentukan harga pada bulan akan datang.

“Dengan sistem ini, akan berlaku subsidi atau lebihan. Subsidi itu apabila harga runcit petrol lebih rendah daripada harga sebenar. Lebihan itu apabila harga runcit lebih tinggi,” jelasnya.

Namun, katanya, kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah sekalipun mendedahkan kepada umum jumlah keuntungan yang diperolehi mereka apabila penetapan harga minyak diletakkan lebih tinggi daripada harga runcit seperti yang berlaku kini.

“Saya pernah bertanya kepada kerajaan untuk mendedahkan angka itu, tapi kerajaan enggan.

“Kerana saya percaya kesenjangan antara harga runcit dan harga sebenar sebenarnya menguntungkan kerajaan, sehingga beza lebihan ini boleh dikatakan sebagai ‘cukai minyak’.

“Maka kadar yang ditetapkan bulan-bulan ini (melalui sistem apungan kawalan) sebenarnya menguntungkan kerajaan. Jika dulu kerajaan bayar subsidi untuk rakyat, kini mereka mengaut keuntungan daripada rakyat pula!” ujarnya.

Sehubungan itu, Zairil yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Bendera menggesa agar kerajaan berterus terang kepada rakyat dengan mendedahkan hasil kutipan lebihan yang diperolehi kerajaan melalui pelaksanaan sistem berkenaan.

Hasil daripada pendedahan itu, katanya lagi, akan dapat menentukan baik buruk pelaksanaan sistem tersebut, sekali gus membuka ruang kepada penambahbaikan serta tindakan susulan bagi mengimbangi harga minyak agar tidak membebankan rakyat.

“Saya percaya rakyat tidak patut bayar lebih daripada yang sepatutnya. Namun saya khuatir sistem ini akan mengakibatkan rakyat bayar lebih,” ujarnya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kenaikan harga minyak ditambah pula dengan penghapusan subsidi minyak masak akan membebankan lagi rakyat meskipun kerajaan meningkatkan nilai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM200.

“Kenaikan minyak masak dijangka menambah kos sehingga RM50 untuk setiap seorang setahun. Bagi keluarga yang mempunyai lima anggota pertambahan RM250 kos setahun akan berlaku, lebih tinggi daripada peningkatan BR1M dalam Belanjawan 2017.

“Jelas bahawa, keluarga berpendapatan lebih rendah tidak mendapat manfaat daripada kenaikan BR1M seperti yang dijanjikan oleh agen propaganda BN.

“Tetapi sebaliknya mereka sebenarnya telah ditipu oleh kenaikan harga seperti harga minyak masak dan petrol oleh Kerajaan Persekutuan BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, katanya, Belanjawan 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 22 Oktober lepas di Parlimen tidak membawa peningkatan ekonomi terhadap keluarga miskin dengan hanya 18 peratus belanjawan diperuntukkan untuk pembangunan golongan itu.

“Jelas sekali, bahawa BN masih dihantui RM52 bilion skandal 1MDB dan RM4.2 bilion skandal derma yang telah mengakibatkan kejatuhan semasa nilai ringgit, pengekalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang amat dibenci oleh rakyat dan kemelesetan ekonomi,” katanya.

Justeru, katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, DAP sebagai parti yang mementingkan kesejahteraan rakyat amat mengutuk tindakan kerajaan BN yang menaikkan harga petrol dan minyak masak secara tidak wajar ditengah-tengah keadaan ekonomi negara yang tidak menentu. – Roketkini.com