Rencana

Apabila pemuda hilang kepercayaan

Terima kasih atas peluang untuk turut serta dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017.

Apabila pemuda hilang kepercayaan

Tuan yang dipertua,

Saya bermula dengan kisah seorang pemuda yang mengakhiri kehidupannya dengan cara yang paling salah menurut agamanya, iaitu dengan membunuh dirinya sendiri. Pemuda ini dikecam kerana melakukan dosa besar, dia dituduh tidak kuat iman untuk berhadapan dengan dugaan hidup, dan dia dinista kononnya mengambil jalan mudah tanpa memikirkan nasib keluarga yang ditinggalkan. Tetapi berapa ramai daripada kita sanggup bertanya apakah kegagalan kita, sebagai manusia dan saudara seagama, sehingga dia terpaksa melakukan tindakannya itu?

Sedari awal lagi, pemuda ini tidak hidup senang. Dia seorang anak yatim, bersama dengan lima adik-beradik lain. Dia tidak berpeluang belajar tinggi malah terpaksa berhenti sekolah dan bekerja demi menampung keluarganya. Pada usia 26 tahun, dia menjual buah-buahan di pekannya, namun seringkali dimangsakan oleh pihak berkuasa tempatan kerana tidak memiliki permit menjaja. Ada kalanya alat perkakasnya dirampas, dan ada kalanya dia dipaksa membayar denda kerana tidak mampu membayar suapan. Malah ada sekali dia ditampar oleh pegawai penguatkuasa bagai orang yang terhina.

Akhirnya, si pemuda yang mengalami kesempitan hidup ini bertekad tidak sanggup lagi dihina lantas bertindak membakar dirinya di hadapan bangunan kerajaan kerana tidak ada cara lain untuk menyampaikan rintihannya kepada si penguasa. Pada hari tersebut, nyawa pemuda ini telah tamat, namun riwayatnya telah menghidupkan hati nurani puluhan juta insan lain.

Ya, kita semua tahu, ini kisah pemuda yang bernama Mohamed Bouazizi dari Sidi Bouzid, Tunisia. Dia tidak berpelajaran tinggi dan tidak pernah mencapai kejayaan dalam apa-apa bidang, malah mungkin tidak mampu mengimpikan lebih daripada kehidupan kais pagi makan pagi. Namun dia akan selama-lamanya dikenang dunia kerana kematiannya pada tahun 2010 telah mencetus gelombang Arab Spring di serata bumi Arab dan membawa kepada kejatuhan pemerintahan berpanjangan rejim kuku besi di Tunisia, Libya dan Mesir.

Tuan yang dipertua,

Baru-baru ini pula kita digemparkan dengan tindakan seorang pemuda di negara kita, Mohd Shukri Saad yang berasal dari Lahar Yooi, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Pemuda yang dikenali sebagai Shukri Lahar Yooi ini mengejutkan negara apabila memilih untuk mengakhiri hidupnya dengan terjun daripada Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, lalu meninggalkan isteri dan anak-anak. Menurut nota bunuh diri yang ditinggalkan di akaun Facebook miliknya, dia bertindak sedemikian kerana berasa amat tertekan dengan beban-beban kehidupannya, khususnya siri tindakan undang-undang yang dikenakan kepada ‘orang kecil’ seperti dirinya. Meskipun dia mengaku bersalah kerana menjual rokok seludup, namun dia berpendapat hukuman yang bakal dihadapinya adalah keterlaluan, lagi-lagilah apabila, dalam ayatnya sendiri, mereka yang “tibai berjuta-juta” boleh pula lepas. Dalam erti kata lain, Mohd Shukri tidak melihat bahawa undang-undang dapat ditegakkan dengan adil, sepertimana saya petik di sini:

“Aku amat tertekan dengan kerajaan yang zalim, kerana kes rokok yang nilai rampasannya hanya RM160 aku akan dipenjarakan. Ini kesalahan pertama aku pada tahun 2012, baru sekarang naik makamah. Bulan lapan yang lepas aku dah kena kes yang sama iaitu jual rokok murah yang nilainya RM200. Hampir direman seminggu dan mujurlah ada surat kematian anakku yang ketiga. Aku dikenakan jaminan RM3,000. Kena bulan dua naik court, bulan lapan… dihukum RM4,000 atau empat bulan penjara. Aku settle RM4,000 dan duit pun jenuh hutang kawan. Ya, aku mengaku salah. Perkara itu salah tetapi hukumannya tak setimpal. Yang pengarah tibai berjuta boleh lepas pula dengan duit jaminan. Celaka punya pimpinan kerajaan sekarang… berniaga kedai runcit kampung sahaja bukan untung besar pun. Margin cukup nipis dibebani dengan cukai GST lagi. Memang kerajaan sekarang zalim.

Dengan ini aku memilih untuk berkorban sebagai rakyat yang dizalimi…. Biarlah aku berkorban demi rakyat Malaysia walau aku nanti akan dikecam dan dihina.”

Tuan yang dipertua,

Dewan yang kita mahu anggap mulia ini adalah medan di mana undang-undang digubal bagi memastikan kesejahteraan rakyat. Apabila ada rakyat yang memilih jalan bunuh diri, soal hilang kepercayaannya terhadap agama, putus cinta atau tekanan keluarga memang bukan urusan langsung dewan ini. Akan tetapi, apabila dia membunuh dirinya kerana hilang kepercayaan terhadap fungsi dewan ini dan institusi negara ini untuk menjaminkan keadilan buat dirinya, maka jelas ia menjadi urusan paling mendasar kepada dewan ini.

Setiap undang-undang yang diluluskan oleh dewan ini mendapat legitimasi melalui prosedur rasminya, yakni dari bacaan kali pertama sehingga ke pewartaan. Namun, kepatuhan terhadap undang-undang bukan sekadar datang daripada legitimasi secara prosedur (procedural), tetapi harus juga mendapat legitimasi moral daripada setiap rakyat yang percaya bahawa kepentingan mereka, baik sebagai masyarakat atau sebagai individu, diwakili dan dipelihara dalam setiap undang-undang yang diluluskan.

Tanpa legitimasi moral ini, undang-undang tidak akan dilihat adil di mata orang ramai dan kepatuhan terhadap undang-undang ini tidak akan datang secara sukarela tetapi hanya secara paksaan. Tambah mengkhilafkan lagi apabila undang-undang itu dikuatkuasakan secara terpilih dan hanya memangsakan orang kebanyakan.

Demikianlah dalam kes Mohd Shukri yang melihat undang-undang hanya ditegakkan terhadap orang kecil seperti dirinya. Dalam hal ini, kita perlu persoalkan sama ada ketegasan yang tidak berbeza telah ditunjukkan di sempadan-sempadan negara kita di mana berjuta-juta kotak rokok melepasi dengan mudah sehingga membanjiri pasaran dalam negara. Kita juga perlu persoalkan sama ada sistem dan institusi keadilan memiliki keberanian yang sama untuk mendakwa kes-kes yang berprofil tinggi dan membabitkan kemungkaran yang jauh lebih besar dan membinasakan. Atau adakah sesetengah orang yang ‘tibai berjuta-juta’ wang negara boleh dilepaskan dengan begitu sahaja walaupun bukti sudah pun jelas di hadapan mata rakyat, malahan mata dunia?

Hanya ada satu jalan untuk menyelamatkan lebih ramai orang seperti Mohd Shukri, iaitu dengan mengembalikan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang bagi memastikan setiap orang yang melakukan kesalahan akan mendapat pengadilan yang sama – equality before the law – sepertimana yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Peruncit-peruncit kecil yang menjual rokok seludup memang membawa kerugian dalam bentuk cukai kepada negara. Namun, hasil negara kita lebih banyak tiris bukan disebabkan oleh orang seperti Mohd Shukri tetapi kerana rasuah, penyelewengan dan salah urus yang kian berleluasa. Apakah kita hanya mampu bertindak terhadap Shukri Lahar Yooi tetapi tidak kepada individu yang dikenali sebagai MO1? Jangan kita berpura-pura mengabaikan gajah di dalam dewan ini kerana terlalu banyak kebobrokan yang telah berlaku akibat pengkhianatan terhadap keluhuran dan kedaulatan undang-undang negara kita semata-mata demi melindungi segelintir orang tertentu daripada pengadilan undang-undang.

Kematian Mohamed Bouazizi di Tunisia telah membuka mata dan hati jutaan rakyat yang tertindas. Ada yang mungkin tidak setuju dengan kaedah yang dipilihnya, tetapi semua pasti lebih tidak setuju dengan penganiayaan terhadap orang kecil yang dicerminkan dalam peristiwa tersebut. Saya percaya tiada sesiapa di sini yang mahu pengalaman yang sama berlaku di negara kita sehingga membawa kepada kudeta yang akhirnya menghancurkan fabrik sosio-politik masyarakat kita. Sebaliknya, apa-apa perubahan politik sewajarnya dilaksanakan melalui jalan demokrasi yang sah.

Oleh itu, sebagaimana Mohamed Bouazizi dari Sidi Bouzid membawa kesedaran kepada dunia Arab tentang ketidakadilan dan penindasan yang berlaku di bawah rejim kuku besi, biarlah pengorbanan Mohd Shukri dari Lahar Yooi menjadi iktibar kepada setiap seorang daripada kita ahli dewan yang mulia ini, lagi-lagilah yang memegang amanah jawatan pentadbiran.

Saya yakin kita semua tidak mahu melihat seorang lagi pemuda mencabut nyawanya sendiri kerana kekecewaannya terhadap kegagalan negara untuk menjamin peluang kehidupan dan pelaksanaan undang-undang yang adil dan saksama. Dengan demikian, saya memohon agar kita menginsafi kegagalan kita untuk menjaga dan menegakkan amanah yang diberikan dan marilah kita sedekahkan bacaan ummul kitab, Al-Fatihah dan bertafakur atas pemergian Mohd Shukri – semoga Tuhan mengampuni dosa kita semua.

Masalah online grooming yang kian berleluasa

Tuan yang dipertua,

Ramai di dewan yang mulia ini, apatah lagi rakyat secara umum, amat terkejut ekoran pendedahan kes Richard Huckle pada bulan Jun tahun ini. Huckle yang berusia hanya 28 tahun semasa tangkapannya dua tahun lalu telah dihukum penjara seumur hidup oleh mahkamah di United Kingdom atas 71 sabitan jenayah seksual yang membabitkan seramai 200 kanak-kanak, kebanyakan daripadanya kanak-kanak di Malaysia semasa beliau tinggal di negara kita dari tahun 2005 hingga 2006.

Kes yang amat melampau dan menjengkelkan ini telah mengejutkan masyarakat kita dan menimbulkan pelbagai tanda tanya mengenai ketersediaan dan keupayaan agensi penguatkuasa serta rejim undang-undang sedia ada di negara kita untuk menangani masalah jijik jenayah seksual kanak-kanak.

Berkenaan dengan kes Huckle ini, rakyat Malaysia masih lagi tertanya-tanya. Bagaimanakah seorang pemangsa seperti Huckle mampu menganiaya begitu ramai kanak-kanak tanpa ditangkap atau diketahui oleh pihak berkuasa? Susulan daripada itu, apakah status siasatan pihak berkuasa mengenai kes tersebut dan adakah mangsa-mangsanya sudah dikenal pasti dan diberi bantuan? Lebih penting lagi, apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil untuk memastikan kejadian sedemikian tidak lagi berulang pada masa depan?

Saya harap kita boleh mengambil pengajaran daripada kes ini dan memberi perhatian serius kepada isu jenayah seksual kanak-kanak secara menyeluruh. Kita perlu mencegah bukan sahaja daripada modus operandi yang biasa seperti Huckle, tetapi juga daripada kaedah-kaedah baru berdasarkan teknologi seperti fenomena online grooming yang kian berleluasa.

Sepertimana umum mengetahui, istilah grooming ini merujuk kepada perbuatan orang dewasa yang menjalinkan hubungan rapat dengan kanak-kanak atau keluarganya bagi merendahkan kesekatlakuan (inhibition) kanak-kanak tersebut dengan tujuan untuk melakukan hubungan seks. Perbuatan grooming ini juga mampu mengumpan kanak-kanak sehingga dieksploitasi dalam industri pelacuran, pornografi dan penyeludupan manusia.

Dengan perkembangan teknologi seperti media sosial yang langsung menghubungkan sesiapa sahaja yang menggunakan internet, maka perbuatan grooming pun dimudahcarakan. Pemangsa-pemangsa menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook, Whatsapp dan sebagainya untuk menghubungi dan berkawan dengan kanak-kanak dan seterusnya memujuk mereka untuk berjumpa dengan tujuan untuk mengambil kesempatan ke atas mereka.

Menurut statistik, perhubungan atas talian melalui aplikasi perbualan, khususnya dengan telefon bimbit, kini merupakan punca utama kes rogol. Ini amat membimbangkan apabila sebilangan besar mangsa rogol merupakan remaja perempuan dalam lingkungan usia 13 hingga 17 tahun. Di United Kingdom, jenayah online grooming ini meningkat sebanyak 32 peratus setiap tahun manakala di Australia ia telah meningkat sebanyak seribu peratus sejak tahun 2008. Di Malaysia masalah ini tidak kurang seriusnya. Sejak tahun 2010, pihak polis telah menerima lebih 400 laporan kes rogol yang berkait dengan internet, dan kebanyakan daripadanya melibatkan kanak-kanak bawah umur.[1]

Baru-baru ini, beberapa wartawan dari akhbar The Star telah menyamar sebagai gadis remaja 15 tahun dalam aplikasi perbualan popular. Dalam tempoh masa hanya 30 minit selepas mereka log masuk ke dalam sistem, setiap seorang wartawan telah menerima gangguan seksual daripada 20 orang lelaki dewasa. Eksperimen ini juga mengesahkan bahawa 70 peratus daripada pemangsa akan menggunakan modus operandi grooming, yakni dengan berlaku mesra, mendapatkan kepercayaan mangsa dan seterusnya merendahkan kesekatlakuan seksual mereka.

Yang paling menakutkan sekali, perbuatan online grooming yang membahayakan kanak-kanak kita ini belum lagi ditakrifkan sebagai jenayah di negara kita. Buat masa ini kita hanya mempunyai Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman bagi rogol berkanun dalam seksyen 375, pengeksploitasian orang bagi tujuan pelacuran dalam seksyen 372B serta menghasut kanak-kanak bawah usia 14 tahun untuk berlaku cabul dalam seksyen 377E. Undang-undang ini ketinggalan zaman dan jelas tidak mampu untuk melindungi anak-anak kita daripada pemangsa yang merayau-rayau dalam alam maya. Keadaan ini langsung tidak memadai dan tidak boleh diterima.

Jelas, kita perlukan undang-undang yang benar-benar dapat membendung masalah ini. Ia bukan sahaja harus merangkumi segala aspek dan kaedah grooming, sama ada secara atas talian (online) atau tidak, tetapi juga mengenakan hukuman yang berpatutan kepada pemangsa-pemangsa dewasa. Negara-negara lain yang sudah meluluskan undang-undang anti-grooming ini termasuk Singapura, Australia, Canada dan United Kingdom, dengan hukuman penjara antara lima hingga ke 15 tahun terhadap pemangsa.

Pun begitu, undang-undang anti­-grooming secara sendiri tidak mencukupi dan perlu dilengkapkan dengan undang-undang lain bagi memberdaya agensi penguatkuasaan dalam pemantauan dan pencegahan jenayah seksual kanak-kanak serta untuk memudahcarakan bantuan dan perlindungan kepada mangsa.

Pada tahun lepas, saya telah membangkitkan dalam dewan yang mulia ini mengenai keperluan untuk mewujudkan daftar pelaku jenayah seksual yang khusus bagi pelaku jenayah seksual kanak-kanak atau pedofil. Tujuannya adalah untuk mengekang pergerakan pedofil daripada kawasan-kawasan berisiko seperti sekolah, pusat asuhan dan taman permainan kanak-kanak, serta melarang mereka daripada pekerjaan dalam persekitaran yang membabitkan kanak-kanak.

Tambahan kepada itu, saya juga menekankan kelompangan undang-undang berkaitan pornografi kanak-kanak. Seksyen 292 Kanun Keseksaan, umpamanya, hanya merujuk kepada objek lucah secara umum dan tidak mempunyai takrifan dan peruntukan khas untuk pornografi secara amnya dan pornografi kanak-kanak secara khusus. Ini adalah kelemahan yang ketara kerana pornografi merupakan antara faktor utama yang mendorong perbuatan rogol. Bahayanya pula pornografi kanak-kanak adalah kerana ia mampu mengaburkan penilaian seseorang dan merendahkan kesekatlakuannya mengenai tingkah laku seksual terhadap kanak-kanak.

Akhir sekali, saya sedia maklum isu jenayah seksual kanak-kanak bukan isu yang mudah ditangani dan melibatkan pelbagai faktor dan pihak berkepentingan. Tambah pula mangsa merupakan kanak-kanak yang tidak dapat mempertahankan diri malah kemungkinan besar tidak memahami apa yang berlaku.

Oleh itu, di samping mewujudkan daftar pedofil dan menggubal undang-undang untuk menangani masalah seperti online grooming dan pornografi kanak-kanak, kita juga harus meningkatkan kesedaran mengenai isu ini dalam kalangan masyarakat. Kanak-kanak harus diajar agar mereka memahami had hubungan yang selamat manakala ibu bapa, pendidik dan pengasuh harus tahu bagaimana untuk memantau penggunaan teknologi media sosial serta mengenal pasti tanda-tanda penderaan seksual serta faktor-faktor risiko seperti masalah tingkah laku yang dizahirkan oleh kanak-kanak. Pada masa yang sama, agensi penguatkuasaan seperti pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga harus diperkasakan dengan sumber dan ilmu teknikal yang mencukupi agar mereka dapat membendung jenayah-jenayah ini.

Pokoknya, jenayah seksual kanak-kanak ini adalah masalah yang amat bahaya dan perlu diberi perhatian serius. Saya percaya bahawa apa-apa langkah untuk menangani isu ini akan disokong oleh kedua-dua belah dewan, dan saya menggesa agar Kerajaan menyegerakan usaha pembaharuan undang-undang dan pemberdayaan pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan anak-anak kita.

Sekian, terima kasih. – Roketkini.com

*Ucapan perbahasan Belanjawan 2017 oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera