Berita

Dewan Rakyat bertafakur, insafi tragedi mangsa terjun Jambatan Kedua P. Pinang

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Dewan Rakyat bertafakur sejenak semalam bagi menginsafi kejadian malang yang menimpa seorang pemuda yang telah bertindak mengakhiri hidupnya lantaran tekanan ekonomi dan kehidupan dengan terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Pulau Pinang.

Menurut nota bunuh diri yang ditinggalkan di akaun Facebook milik Allahyarham Shukri Saad, 38 tahun, arwah bertindak sedemikian kerana berasa amat tertekan dengan beban-beban kehidupannya, khususnya siri tindakan undang-undang yang dikenakan kepada ‘orang kecil’ seperti dirinya.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2017 beliau memetik kisah tragis lelaki ini yang meskipun mengaku bersalah kerana menjual rokok seludup, namun dia berpendapat hukuman yang bakal dihadapinya adalah keterlaluan.

“Lagi-lagilah apabila, dalam ayatnya sendiri, mereka yang ‘tibai berjuta-juta’ boleh pula lepas.

“Saya yakin kita semua tidak mahu melihat seorang lagi pemuda mencabut nyawanya sendiri kerana kekecewaannya terhadap kegagalan negara untuk menjamin peluang kehidupan dan pelaksanaan undang-undang yang adil dan saksama.

“Dengan demikian, saya memohon agar kita menginsafi kegagalan kita untuk menjaga dan menegakkan amanah yang diberikan dan marilah kita sedekahkan bacaan ummul kitab, Al-Fatihah dan bertafakur atas pemergian Mohd Shukri – semoga Tuhan mengampuni dosa kita semua,” ujar Zairil, mengajak Dewan bertafakur sejenak.

Menurut beliau yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP, hanya ada satu jalan untuk menyelamatkan lebih ramai orang seperti Mohd Shukri, iaitu dengan mengembalikan kedaulatan undang-undang bagi memastikan setiap orang yang melakukan kesalahan akan mendapat pengadilan yang sama sepertimana yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Peruncit-peruncit kecil yang menjual rokok seludup memang membawa kerugian dalam bentuk cukai kepada negara. Namun, hasil negara kita lebih banyak tiris bukan disebabkan oleh orang seperti Mohd Shukri tetapi kerana rasuah, penyelewengan dan salah urus yang kian berleluasa.

“Apakah kita hanya mampu bertindak terhadap Shukri Lahar Yooi tetapi tidak kepada individu yang dikenali sebagai MO1?” soal Zairil. – Roketkini.com