Rencana

Pulau Pinang sebagai negeri keusahawanan dan berkebajikan

DAP menyambut ulangtahun ke-50 parti tahun ini dengan pengiktirafan kepada ahli dan penyokong veteran kita yang telah selama ini menampung parti semasa zaman pembangkang. Atas idealisme anda yang hebat, prinsip yang teguh, keberanian yang tegas serta ketaatan yang tidak berbelah bagi, DAP telah berjaya mengatasi penindasan daripada jentera kerajaan yang zalim, taktik kotor media yang tidak memberi ruang kepada kita, serta menahan daripada godaan politik wang.

Dengan membantu DAP melalui segala cabaran ini, anda telah mengorak langkah ke arah takdir DAP apabila kita berjaya sampai ke tampuk kuasa dalam tsunami politik yang bersejarah pada tahun 2008 dan seterusnya mempertahankan kerajaan negeri Pulau Pinang pada pilihan raya umum tahun 2013 bersama-sama dengan rakan-rakan kita dalam Pakatan. Ahli dan penyokong veteran kita boleh berbangga kerana telah membentuk DAP dalam 40 tahun pertama sehingga menjadi parti pembangkan terbaik dalam sejarah Malaysia.

Kepimpinan politik DAP yang ditubuhkan oleh Sdr Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Dr Chen Mah Hin masih terus membimbing kita. Dalam tempoh 8 tahun yang lepas, kita telah menunjukkan bahawa kita boleh mentadbir kerajaan negeri Pulau Pinang dengan lebih baik berbanding dengan BN. Inilah legasi politik kita – sepertimana kita merupakan parti pembangkan terbaik, kita boleh dan akan menjadi kerajaan yang terbaik.

Kita tidak jangka menang kuasa pada tahun 2008, namun tanpa berpengalaman, kita sememangnya tahu bahawa kita boleh mentadbir dengan lebih baik berbanding BN. Kerajaan berteraskan prinsip Cekap, Akauntabel, Telus (CAT) dengan semangat pasukan dan parti yang bersatu serta tidak merompak rakyat sudah tentu boleh mentadbir dengan lebih baik. Statistik ekonomi membuktikan bahawa dari tahun 2007-2015:
· Pulau Pinang mencatat bajet lebihan dengan jumlah lebihan sebanyak RM574 juta bagi tempoh 8 tahun dari 2008-2015, lebih daripada jumlah lebihan di bawah BN sepanjang 50 tahun pentadbiran dari 1957-2007, iaitu RM373 juta. Dalam erti kata lain, kita mengambil masa hanya 8 tahun untuk mengatasi prestasi BN selama 50 tahun!

· Aset Pulau Pinang hampir digandakan dalam tempoh 8 tahun dari RM850 juta kepada RM1.6 bilion, sekali lagi mencatat prestasi hebat dalam 8 tahun berbanding BN selama 50 tahun.

· Jika tempoh 8 tahun 2008-2015 dibandingkan dengan 2000-2007, pelaburan pembuatan di Pulau Pinang telah meningkat 87% kepada RM54.9 bilion berbanding RM24.9 bilion, dengan kenaikan bilangan peluang pekerjaan sebanyak 20% kepada 128,317 berbanding 106,583. Kadar pengangguran pula hanya 1.6% dan kini terdapat kekurangan pekerja seramai 20,000.

· Produktiviti penternakan ikan di laut juga meningkat secara mendadak, daripada hanya 2,714.60 tan metrik pada tahun 2007 kepada 28,964.95 tan metrik pada tahun 2015, iaitu peningkatan 10 kali ganda.

· Pekala Gini (Gini coefficient) bagi mengukur tahap kesenjangan pendapatan telah berkurang daripada 0.419 pada tahun 2009 kepada 0.364 pada tahun 2014, iaitu satu penambahbaikan sebanyak 13% dalam tempoh masa 5 tahun, berbanding dengan purata kebangsaan 0.401. Sebagai bandingan, Perak mempunyai pekala Gini yang lebih rendah iaitu 0.419 pada tahun 2009, tetapi masih mencatat angka yang lebih tinggi berbanding Pulau Pinang, iaitu 0.366 pada tahun 2014.

· Hutang negeri Pulau Pinang telah menurun 90% sejak tahun 2008 dan berada pada tahap paling rendah dalam negara, iaitu RM69 juta pada akhir 2015. Hutang RM69 juta ini sangat kecil berbanding jumlah hutang kesemua 13 negeri yang mencecah RM16.8 bilion, dengan hutang Pahang sebanyak RM2.9 bilion, diikuti oleh Sabah RM2.6 bilion, Sarawak RM2.5 bilion, Kedah RM2.3 bilion dan Kelantan RM1.3 bilion.

· Pada tahun 2007, Pulau Pinang mempunyai kadar pertumbuhan KDNK per kapita yang paling tercorot. Pada tahun 2015, selepas 8 tahun, Pulau Pinang akhirnya berjaya merubahkan keadaan dan menjadi juara kebangsaan dengan kadar pertumbuhan KDNK per kapita yang paling tinggi.

Bandingkan sahaja kejayaan prestasi ekonomi Pulau Pinang dengan prestasi kerajaan persekutuan BN yang amat menyedihkan, dengan defisit bajet buat 18 tahun berturut-turut sejak tahun 1998, hutang kerajaan persekutuan (termasuk liabiliti kontinjen) meningkat 3 kali ganda sejak tahun 2007 kepada RM833 bilion, pelaksanaan cukai GST dan KDNK per kapita kebangsaan RM37,104 pada tahun 2015 yang lebih rendah berbanding RM44,847 di Pulau Pinang.

Prestasi ekonomi Pulau Pinang yang hebat ini boleh dilihat melalui transformasi negeri yang dahulunya diiktiraf sebagai negeri yang paling kotor di Malaysia kepada antara negeri paling bersih yang juga hijau, selamat dan sihat. Jalan baru telah dibina di Seberang Perai dan buat kali pertama dalam 20 tahun, dalam kawasan tengah bandar Pulau Pinang iaitu Jalan Ahmad Nor, serta Jalan Raja Uda di Butterworth dan Jalan Song Ban Keng di Bukit Mertajam.

Kejayaan kita bukan sekadar statistik, tetapi adalah perkara zahir yang boleh dilihat dalam tempoh 8 tahun, seperti projek rumah terbiar yang kini dihidupkan kembali, tapak pelancongan yang kini dicergaskan kembali seperti bangunan Komtar, Bukit Bendera, George Town, Penang International Sports Arena(PISA) serta penubuhan dewan baru di Seberang Jaya (Seberang Perai Arena).

Lebih penting lagi, kerajaan negeri juga melabur dalam pendidikan bagi membina modal insan. Selain daripada geran langsung sebanyak RM12.5 juta setahun kepada sekolah-sekolah vernakular dan agama, kerajaan juga menumpukan kepada pembelajaran STEM, iaitu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik. Untuk menjadi pusat kecemerlangan bagi sains dan teknologi, kita telah menubuhkan:
· Penang Science Cafe yang bernilai sebanyak RM20 juta untuk memberi kelas percuma kepada kanak-kanak dalam bidang sains amali dan robotik.

· Tech-Dome Pulau Pinang yang bernilai RM28 juta bagi menghidupkan kembali minat dalam sains dan teknologi.

· Skim Latihan Dwi-Vokasional Jerman sebanyak RM6 juta yang menawarkan kursus advanced diploma selama 42-bulan yang diiktiraf oleh Jerman, di mana pelajar dapat belajar sambil bekerja di kilang-kilang.

· Pusat Pembelajaran Karpal Singh yang bernilai RM6 juta bagi pengajaran STEM dan coding; dan

· Perpustakaan Digital Pulau Pinang yang bernilai RM3 juta – perpustakaan digital pertama di Malaysia.

1.6 juta rakyat Pulau Pinang telah mendapat manfaat melalui bantuan kewangan RM400 juta yang diagihkan sejak tahun 2008, seperti bayaran RM100 kepada warga emas, ibu tunggal, suri rumah, OKU dan murid sekolah serta bayaran one-off RM1,000 sebagai khairiat kematian, RM200 untuk anak baru lahir, pukat percuma kepada nelayan, RM1,000 kepada pelajar IPTA tahun pertama, bayaran tahunan RM600 kepada pemandu teksi dan bas sekolah, dan RM1,200 setahun kepada penarik beca. Bayaran cukai GST untuk perkhidmatan kerajaan tempatan juga dibayar penuh oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai, berserta pengecualian penuh cukai pintu bagi rumah kos rendah, sederhana rendah dan rumah kampung.

Kejayaan kita dalam menarik pelaburan dan pelancong telah mengakibatkan kenaikan harga rumah, kesesakan trafik dan kebelakangan ini banjir kilat. Kita tidak akan menafikan atau lari daripada tanggungjawab ini. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang berusaha mengatasi cabaran-cabaran ini dengan menyediakan rumah mampu milik sebanyak 26,255 unit di kesemua 5 daerah di Pulau Pinang, manakala pihak swasta akan mendirikan bilangan yang hampir sama juga. Kita juga sedang menunggu kelulusan Kerajaan Persekutuan bagi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang bernilai RM27 bilion yang merangkumi rangkaian keretapi, jalanraya, udara dan air serta menghubungi pulau dan tanah besar.

Perubahan iklim yang mendadak telah mengakibatkan kemarau dan banjir kilat. Kita berbangga bahawa Pulau Pinang dapat meneruskan rekod cemerlang tanpa catuan air. Tekanan kita ke atas pengurusan perbekalan air dan perancangan sumber air yang cekap, mewartakan kawasan tadahan air serta memasang lebih banyak pam air, telah membantu untuk mengelak daripada catuan air yang terpaksa dihadapi banyak negeri lain. Walaupun diancam dengan kemarau panjang, kita boleh menjamin perbekalan air tidak terputus sehingga tahun 2025.

Sungguhpun begitu, banjir kilat sekarang merupakan cabaran besar dengan hujan lebat yang luar biasa. Masalah ini akan ditangani dalam Bajet 2016 pada November 15 nanti, khususnya keperluan untuk menekan Kerajaan Persekutuan untuk melengkapkan fasa terakhir projek Tebatan Banjir Sungai Pinang yang bernilai RM350 juta yang dapat mengelak banjir kilat seperti yang kita alami pada Hari Deepavali. Kita juga akur kegagalan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melaksanakan projek tebatan banjir dalam kadar yang cepat, termasuk satu projek yang belum dilaksanakan setelah 4 tahun. Namun kita mempunyai keyakinan ke atas kemampuan Pengarah JPS Pulau Pinang untuk menyelesaikan masalah-masalah ini.

Wawasan kita adalah untuk mentransformasikan Pulau Pinang kepada negeri keusahawanan dan kebajikan dengan melabur dalam infrastruktur bagi menangani cabaran kesesakan trafik, rumah mampu milik dan banjir kilat. Kita juga membina modal insan dengan melabur dalam pendidikan serta berkongsi hasil kesejahteraan ekonomi. Inilah jalan Pulau Pinang ke arah perpaduan dan kesejahteraan – sebuah negeri keusahawanan dan kebajikan. Kita hanya boleh menjadi bandar antarabangsa dan pintar sekiranya Pulau Pinang adalah negeri berdaya huni yang bersih, hijau, selamat dan sihat.

DAP yakin dengan masa depan Pulau Pinang yang diterajui Pakatan Harapan. BN sudah kehabisan modal politik sehingga menggunakan serangan peribadi dan politik kebencian, fitnah, ketakutan dan politik wang. Saya telah menjadi mangsa terbaru dakwaan rasuah oleh BN. Saya berterima kasih kepada semua ahli dan penyokong kerana mempercayai bahawa saya tidak bersalah dan bahawa saya dan pasukan saya adalah bersih – kami tidak rompak atau curi daripada rakyat.

Sama ada BN berjaya dalam serangan mereka terhadap saya atau tidak, mereka tetap akan meningkatkan serangan. Kita akan berdiri teguh bersama-sama melawan BN. Kita tidak akan tunduk atau menyerah kalah. Saya pernah menyatakan dahulu dan saya akan menyatakannya sekarang. Saya sanggup mati berdiri daripada hidup berlutut. Namun saya tidak akan sekali-kali melupakan sokongan kuat daripada saudara dan saudari saya di sini. Anda semua adalah setiakawan yang baik.

BN boleh terus membuli kita dengan politik kebencian, fitnah dan ketakutan. Kita tidak akan memakan umpan. Kita akan membalas dengan kebenaran dan fakta, dengan prestasi dan mewujudkan sebuah Pulau Pinang yang lebih baik, kuat, bebas dan sejahtera untuk semua.

Bagi membuktikan bahawa DAP bukan berkisar pada seseorang individu tetapi sebuah pasukan kepimpinan kolektif, DAP dan negeri Pulau Pinang akan meneruskan perjuangan walau apa terjadi kepada saya. Saya dengan ini meminta agar Konvensyen ini, ahli dan pemimpin kita, dapat menyokong cadangan saya agar Pengerusi DAP Pulau Pinang Sdr Chow Kon Yeow mengambil alih jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang daripada saya sekiranya BN berjaya dalam serangan mereka terhadap saya. Kita akan mempertahankan DAP dan Pulau Pinang daripada BN sebagai satu pasukan, satu semangat dan satu parti! – Roketkini.com

*Ucapan oleh Setiausaha Agung DAPdi Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang pada 6 November 2016