Rencana

Segera bertindak tangani krisis air Johor dengan keazaman politik

Saya telah membangkitkan isu krisis air di Johor dalam persidangan kamar khas Parlimen pada 7hb November 2016 dan mendesak Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) untuk bertindak segera sebelum krisis air yang lebih besar melanda Johor.

Punca utama krisis air di Johor adalah kerana kebanyakan kawasan tadahan air yang telah dijadikan kawasan tanaman kelapa sawit. Adakah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai keazaman politik (political will) untuk mengekang kebun dan ladang haram di sekitar empangan dan fasiliti air bagi menjamin keselamatan kawasan tadahan air?

Seperti yang dimaklumkan oleh Pemangku Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Senator Devamany Krishnasamy dalam kamar khas Parlimen, KeTTHA telah membangkitkan isu keperluan untuk mewartakan kawasan tadahan sumber air kepada Jemaah Menteri dan juga meminta kerajaan negeri Johor dan agensi-agensi berkaitan berganding bahu dalam memastikan pencerobohan dan aktiviti pertanian yang tidak terkawal di kawasan tadahan air diminimumkan.

Beliau mengakui bahawa kawasan berhampiran dengan empangan telah diterokai untuk tujuan perladangan dan pertanian. Oleh sebab itu, kuantiti air mentah di Sungai Sembrong Kiri terjejas akibat pengambilan air bagi tanaman sayur, manakala tanaman berskala besar seperti pokok betik dan kelapa sawit di kawasan tadahan empangan Lebam dan Congok telah menyebabkan kuantiti sumber air mentah berkurangan.

Sejak 2013, kawasan Parlimen Kluang telah mengalami catuan air sebanyak empat kali. Saya memaklumkan kepada pihak kementerian bahawa Penduduk Kluang telah menghadapi catuan air selama sebulan bermula 16hb Ogos 2016 dan hampir setengah bulan bermula 17hb Oktober 2016, sementara Mersing pula dicatu bekalan airnya melebihi setengah tahun.

Saya telah melawat empangan Lebam dan Sungai Layang bersama pegawai senior SAJ pada November 2015 dan kemudian empangan Congok pada Ogos lalu, empangan-empangan itu dikelilingi ladang sawit. Saya juga telah memberi beberapa pandangan kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada November 2015 berhubung isu ini.

Empangan Sembrong yang membekalkan keperluan air bagi Kluang, turut dikelilingi kebun-kebun serta ladang ternakan dan sawit. Malah, kami pernah melihat sendiri kuda sedang bermandi-manda di empangan Sembrong.

Saya menyeru Kementerian dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara mengemukakan piawaian untuk kawasan tadahan air dan menyenarai-hitamkan (Kaedah ‘Name and Shame’) empangan-empangan yang tidak mematuhi piawaian tersebut. Kerajaan Persekutuan dan Negeri mesti mengemukakan rancangan dengan perincian garis masa untuk memindahkan kesemua ladang sawit di sekitar empangan dan mewujudkan serta meluaskan kawasan tadahan air demi memastikan kemampanan bekalan air untuk rakyat Johor dan di seluruh negara.

Selain itu, Devamany Krishnasamy juga menerangkan langkah-langkah yang diambil oleh KeTTHA bagi membantu kerajaan negeri Johor mengatasi masalah bekalan air seperti penyaluran 50 juta liter sehari air mentah dari Sungai Sedili ke Empangan Lebam dengan peruntukan RM15 juta (telah siap pada 1hb Mac 2016), menaik taraf empangan Congok di bawah RMKe-11 dengan peruntukan RM7 juta (dijangka siap pada April 2018) dan juga penyelesaian jangka panjang melalui pelaksanaan Projek Penyaluran Air Mentah ke Iskandar Malaysia (PAMIM) dengan anggaran kos berjumlah RM660 juta dalam 3 fasa (fasa 1 dijangka siap pada April 2017, manakala fasa 2 dan 3 akan dimulakan selepas ‘kajian kemungkinan’ yang dijangka selesai pada bulan April 2017).

Perdana Menteri Singapura baru-baru ini mengingatkan rakyatnya supaya menggunakan air dengan cermat, kerana paras simpanan air empangan Linggiu yang menjadi empangan pembekal air utama ke Singapura sudah berada di tahap 22 peratus sahaja.

Selalunya saya tidak suka menbandingkan Singapura dengan Malaysia tetapi dalam keadaan ini, perbezaan antara pengurusan air di Singapura dan Johor dalam tempoh beberapa dekad ini adalah terlalu ketara.

Tiga perkara yang perlu diberi perhatian:

1) Air kumbahan terawat (NEWater) adalah 30 peratus daripada keperluan air tawar Singapura, manakala air suling pula 10 peratus,

2) Kawasan tadahan air Singapura telah bertambah menjadi dua pertiga daripada permukaan bumi negara itu (daripada 11 peratus pada tahun 1970),

3) Sekitar 40 peratus keperluan air Singapura adalah dari Malaysia, berbanding 80 peratus sewaktu Singapura merdeka pada tahun 1965.

Saya mengalu-alukan komitmen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang sedang merangka satu rang undang-undang bagi memantapkan lagi pengurusan dan tadbir urus sumber air negara. Rang undang-undang tersebut dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun 2017. Saya harap rang undang-undang bersepadu ini benar-benar dapat berfungsi menangani krisis air yang bakal melanda dan memastikan sumber air dapat dinikmati oleh semua orang termasuklah generasi kita yang akan datang.

* Liew Chin Tong merupakan Ahli Parlimen Kluang merangkap Pengerusi DAP Johor