Rencana

Manifestasi melawan kerangka dan pemegang kuasa, tidak sentiasa indah

Pada hemat saya, pertarungan untuk kerusi Presiden Amerika ini wajar dianalisa daripada sudut pandangan Parti Demokrat melawan Parti Republikan; atau pendokong establishment melawan mereka yang anti-establishment. Saya tetap tegas dan teguh dengan pendirian saya sebagai seorang pendokong Demokrat, tidak kira menang atau kalah.

Sebagai penyokong Bernie Sanders sejak awal lagi, saya merasa untuk parti Demokrat benar-benar memberi kesan dalam suasana yang begitu anti-establishment ini, adalah lebih wajar untuk diangkat seorang Demokrat yang anti-establishment untuk melawan Republikan yang anti-establishment.

Apatah lagi, sekiranya kita bandingkan pencalonan Hillary Clinton oleh parti Demokrat yang dilihat sebagai gadis poster (meski tanpa mengenepikan keupayaan dan pengalaman beliau) kepada politik struktur dengan Trump yang ditentang oleh pihak-pihak dari dalam mahupun di luar arus perdana parti Republikan (tidak kira keupayaan dan pengalaman beliau), cukup untuk kita simpulkan bahawa pihak parti Demokrat telah memilih strategi yang kurang bijak.

Teori ini jelas tidak disokong oleh para Demokrat, maka tutup ceritalah. Tak perlu sembang panjang lagi.

Pentadbiran Obama telah membawa Amerika Syarikat ke jalan tengah, walaupun masih masih di sebelah kanan spektrum politik. TPPA dan berbagai lagi dasar neoliberal dan beranasir kanan telahpun dibawa dan kezalimannya susah untuk dinafikan. Pada waktu yang sama, unsur-unsur kekiriannya juga turut terpamer. Justeru, jalan tengah pragmatik atau ‘Jalan Ketiga’ telah terbukti sebagai jalan yang tak tentu arah dan membuka ruang kepada polarisasi dan sentimen anti-establishment yang begitu ketara di depan mata kita.

Selepas model pentadbiran dan ekonomi yang begitu neoliberal (tak nafikan Demokrat juga penyumbang besar kepadanya) selama ini, yang telah membawa krisis-krisis ekonomi dan kewangan, serta pentadbiran Rumah Putih selama dua penggal yang dipegang buat kali pertama oleh seorang African American, puak-puak perkauman telah lama memaksimakan peluang untuk memainkan sentimen perkauman dan dasar perlindungan.

Teladan yang patut kita ambil daripada piliharaya Amerika

Gagasan ‘Jalan Ketiga’ memang telah gagal dan kehilangan kepercayaan orang ramai kerana komponen Neoliberalisme, ekonomi pasaran bebas dan ekonomi titis menitis sudah jelas tidak membawa manfaat kepada sesiapa yang tidak memegang kuasa. Sistem yang terlalu lama dikawal, dipandu, direkabentuk secara khusus oleh dan bagi satu golongan kecil masyarakat hanya akan membawa kegilaan yang kita bakal, bahkan sedang kita saksikan.

Kesimpulannya, cukup ramai manusia di seluruh dunia berkehendak kepada suatu revolusi – suatu langkah menjauhi sistem yang menindas. Walaupun yang kita saksikan di US adalah satu pelarian ke arah yang lebih:

a. Ekslusif (Trump mahu menghalang semua orang Islam daripada memasuki Amerika)

b. Rasis (Trump menganggap semua orang Islam sebagai suspek pengganas, kaum Latin Mexico pula dianggap perogol)

c. Kapitalis (yang menghalalkan penindasan, asalkan membawa keuntungan).

Ia bukanlah sesuatu yang kita mahukan di Malaysia, tetapi sentimen anti-establishment kian menonjol dan semakin kencang dirasakan di Malaysia; kerana establishment kita yang sedia ada adalah juga bersifat eksklusif, rasis dan kapitalis.

Soalnya sekarang adalah bagaimana kita boleh merancakkan sentimen ini demi membawa satu revolusi yang akan melarikan kita sebagai rakyat Malaysia, ke arah satu Malaysia Baru yang lebih inklusif, mendokong kepelbagaian, dan lebih progresif. – Roketkini.com

* Howard adalah Presiden International Union of Socialist Youth (IUSY) merangkap Setiausaha Antarabangsa DAPSY Kebangsaan