Berita

Belajar dari kemenangan Trump, Pakatan mesti kukuhkan jentera akar umbi

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Barisan parti pembangkang perlu berusaha lebih keras dalam mengukuhkan jentera di peringkat akar umbi serta menyesuaikan dasar-dasar yang dibawa dengan situasi sebenar kehidupan rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata ia penting bagi menyakinkan rakyat, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, tentang keupayaan parti pembangkang ‘menyelamatkan’ mereka daripada pelbagai masalah ekonomi, termasuk kos sara hidup yang kian meningkat.

“Kita perlu memahami aspirasi dan harapan rakyat serta memberi keyakinan bahawa urus tadbir kita mampu membantu mereka.

“Ia amat penting untuk orang ramai memahami implikasi kepada isu-isu mendesak seperti 1MDB, rasuah atau kenaikan harga, termasuk juga krisis hutang yang sedang berlaku. Ada keperluan segera untuk mendekati masyarakat luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pemilihan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45 merupakan bukti kukuh bahawa parti politik perlu lebih peka dengan kehendak dan masalah harian rakyat jika mahu diberi mandat.

“Donald Trump menjalankan kempen yang penuh ketakutan dan kebencian terhadap mereka yang berlainan warna kulit, imigran, komuniti LGBT, orang Islam dan wanita.

“Tetapi jika kita lihat dengan lebih mendalam, kita akan dapati bahawa ia merupakan mesej sebenar dari masyarakat miskin yang takut akan kehilangan kerja, atau bimbang tentang masa depan anak-anak mereka,” jelasnya.

“Perasaan marah dan tidak percaya kepada politik sedia ada menyebabkan rakyat Amerika memilih Trump sebagai Presiden mereka.”

Charles menegaskan, seperti Trump, kerajaan pimpinan UMNO Barisan Nasional selalu menggunakan politik ketakutan dan kebencian bagi memecah-belahkan rakyat Malaysia.

“Walaupun golongan kelas pertengahan dan pekerja di negara ini sudah muak dengan pemerintah yang ada, mereka takut jika kerajaan Persekutuan yang dipimpin pembangkang tidak akan berhasil, disebabkan pertelingkahan yang berterusan,” ujarnya.

Oleh itu, beliau berkata, barisan pembangkang perlu bersatu-padu demi memelihara kepentingan rakyat serta menyediakan penyelesaian yang mampu menjamin kehidupan rakyat yang lebih stabil dan harmoni.

“Ia pasti dapat mengalahkan UMNO, yang kini sudah pun goyah,” katanya. – Roketkini.com