Berita

Kerajaan Pusat digesa jangan sekat peruntukan Projek Tebatan Banjir Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 11 NOV: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggesa Kerajaan Persekutuan agar menambah peruntukan untuk lima Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berimpak tinggi yang telah dipohon negeri ditadbir Pakatan Harapan itu sebelum ini.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, salah satu daripada lima RTB tersebut, iaitu RTB Sungai Pinang, menerima hanya RM150 juta daripada Kerajaan Persekutuan meskipun kos projek pembinaan infrastruktur tersebut sebenarnya bernilai RM350 juta.

“Ini bermakna hanya RM150 juta diluluskan, yakni 15 peratus daripada segala permohonan Kerajaan Negeri melalui permohonan yang dibuat bagi Belanjawan 2017,” ujar Setiausaha Agung DAP itu dalam satu kenyataan.

Selain RTB Sungai Pinang, empat lagi projek dianggarkan secara keseluruhan bernilai RM997 juta itu adalah RTB Sungai Juru, RTB Sungai Perai, RTB Bayan Lepas dan RTB Lembangan Sungai Jawi.

Guan Eng turut berharap agar Kerajaan Persekutuan mengambil kira sumbangan tahunan kerajaan negeri berjumlah RM6.5 bilion hingga RM7 bilion dalam bentuk cukai dan duti eksais sebagai pertimbangan untuk memberi penambahan peruntukan tersebut.

“Hujan yang turun sebanyak 60 milimiter (mm) sehari sudahpun dianggap sangat lebat. Bayangkan Pulau Pinang dalam masa tiga hari yang lepas merekodkan hujan lebat luar biasa iaitu sebanyak 300 mm.

“Ia sekaligus menyebabkan banjir buruk berlaku di negeri ini. Malah, ada beberapa kawasan yang tidak pernah mengalami banjir, telahpun banjir berikutan hujan lebat luar biasa ini,” katanya. – Roketkini.com