Rencana

Mungkinkah kita sedang berilusi?

Bersih 5

Kita merasakan kebanyakan rakyat sudah faham sebab dan tujuan penganjuran Bersih. Malah provokasi geng Baju Merah sudah cukup menjadikan gerakan Bersih 5 sangat popular dalam kalangan rakyat khususnya kaum Melayu. Paling tidak, kita rasa selesa dan yakin ia akan memberi kesan kepada matlamat Bersih itu. Itu kita rasa.

Tentang Belanjawan Najib

Kita juga tahu bahawa belanjawan Najib Tun Razak ini hanyalah panadol untuk penyakit kanser. Kita pun dah bantai belanjawan Najib di ceramah-ceramah politik. Kita juga telah ligan berbahas di Parlimen cukup-cukup. Kita rasakan rakyat telah dapat melihat betapa efektifnya kita (wakil rakyat pembangkang).

Tentang Ekonomi

Kita juga merasakan kita telah cukup memberi hujah terhadap masalah utama ini. Disamping itu, kita optimis bahawa dasar ekonomi Najib termasuk isu GST dan skandal 1MDB ini akan menelan Najib dan BN dalam pilihanraya yang akan datang. Ini anggapan kita hingga kita rasa selesa menjadi pembangkang yang vokal, ini cukup untuk meyakinkan rakyat yang kita boleh dan dah bersedia menggantikan BN.

Tentang Budaya

Kita juga merasakan apabila munculnya zaman media sosial hari ini, ia sudah cukup baik untuk mengembangkan budaya baru kepada rakyat, demonstrasi, forum, debat dan sebagainya. Kita merasakan agenda sosial kita akan mudah sampai dan diterima oleh rakyat. Kita beranggapan jika sudah kuasai media sosial, maka populariti dan informasi tentang kita akan mudah dan cepat difahami.

Pendek kata, semua isu di atas telah kita lawan dan kita sedang bergerak ke arah kemenangan.

Petanda

Saya mengikuti perkembangan politik pilihan raya presiden Amerika ini sejak Julai lalu. Saya mengikutinya kerana Obama, bukan kerana calon-calon Demokrat atau Republikan. Saya teruja untuk melihat siapa selepas Obama yang telah menempa sejarah baru Amerika ini. Pasti ada sejarah baru yang lebih hebat dari sejarah Obama.

Donald Trump ini belum lagi dilihat sebagai pencabar utama ketika itu. Popularitinya hanya kerana dia memang seorang selebriti dan usahawan yang dikenali ramai. Cara Obama mengkitai Trump ini cukup menjadikan beliau bukan calon yang hebat, apatah lagi kontroversi-kontroversi kenyataan Trump yang dilihat tidak masuk akal.

Tetapi perkara sebaliknya berlaku, Trump menang. Parti Demokrat, Obama dan penyokongnya hanya berilusi.

Ilusi Kita

Perkara paling payah untuk kita kenali adalah ilusi. Ilusi menang atau ilusi kalah. Masalah sebenar bukan ilusi menang atau kalah, tetapi berilusi. Kita katakan, work for the best, prepare for the worst, ini juga sebahagian daripada ilusi.

Ada yang akan baca kenyataan saya ini sebagai pesimis, mungkin juga, saya memang pesimis kepada mereka yang berilusi.

Saya melihat cadangan penjajaran semula politik Malaysia oleh rakan saya Liew Chin Tong adalah telahan beliau yang datang dari pemerhatian dan perkiraannya, dia ada hujah-hujahnya.

Tetapi pada realiti, parti-parti oposisi sedang gigih menyusun strategi kuasa, bukan menyusun dasar politik yang dapat memberi jawapan kepada masalah ekonomi rakyat. Mereka merasakan dengan kompromi agihan kerusi politik maka agenda rakyat dapat diluruskan. Mungkin ini anggapan mereka. Bagi saya ini ilusi.

Pengalaman Pakatan Rakyat yang dibentuk selepas Tsunami Politik 2008, akhirnya pecah juga. Pecah kerana PAS membelakangkan kerangka dasar Pakatan Pembangkang. PAS atau PKR tuduh DAP sebagai punca itu pula soal lain, soal yang boleh didebatkan dalam forum lain, bukan dalam rencana ini.

Di sini isu utamanya ialah, pakatan terpecah adalah berkaitan dengan dasar, bukan agihan kerusi politik.

Sekarang, yang dikatakan penjajaran semula politik Malaysia apabila wujudnya parti Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, juga sedang mengulangi langkah yang sama iaitu berunding pembahagian kerusi politik, bukan berunding menghasilkan dasar ekonomi yang baru.

Ibarat, kita sedang berunding untuk membina sebuah rumah, tetapi masing-masing sibuk ingin menentukan saiz biliknya, luas dapurnya, besar ruang tamunya, sedangkan kita belum pun bincang rangka dan rekabentuk rumah itu, bahannya, kosnya dan tempatnya.

Senario hari ini lebih teruk lagi bila kita berilusi yang undi Melayu akan berubah dan akan membawa kemenangan kepada pakatan pembangkang, mungkin juga. Mungkin saya pun sedang berilusi, mungkin. – Roketkini.com

*Mahdzir Ibrahim adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor