Berita

Jangan ulang kesilapan lampau – Salahudin Ayub

SHAH ALAM, 12 NOV: Pakatan Harapan tidak boleh mengulangi kesilapan lalu sewaktu era Pakatan Rakyat kerana ia boleh menghancurkan masa depan negara dan harapan rakyat.

Malah, Naib Pengerusi Parti Amanah Negara Salahuddin Ayub berkata PH perlu menjadi sebuah wadah politik yang jauh lebih baik dari sebelum ini.

Ia katanya perlu dibuktikan dengan meletakkan kepentingan rakyat Malaysia mendahului kepentingan peribadi mana-mana pihak.

“Kalau kita ego, pentingkan diri tanpa kira apa yang rakyat mau, kita akan tewas dalam pilihanraya akan datang,” kata beliau dalam Konvensyen Pakatan Harapan hari ini.

Menurutnya, pemimpin-pemimpin PH perlu sedia untuk bersikap rendah diri dan terbuka mendengar semua permasalahan yang timbul.

“Jika pemimpin PH sedia merendah diri, jadi progresif, jadi pendengar yang baik, belajar dari pengalaman lalu, inilah yang rakyat mahu,” ujar Salahuddin.

Beliau turut mengulangi pendirian sebelum ini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan bakal Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya.

“Ini perjanjian kita yang perlu dihormati.

“Tapi beliau hanya akan bebas jika kita berjaya ke Putrajaya,” katanya lagi. – Roketkini.com