Berita

Pastikan satu lawan satu dalam pilihanraya akan datang – M.Kula Segaran

SHAH ALAM, 12 NOV: Naib Pengerusi DAP Kebangsaan M. Kula Segaran mahu supaya parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan dan pembangkang negara ini supaya tidak bertembung dalam pilihanraya akan datang.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata strategi itu amat penting supaya pembangkang mampu memenangi kerusi majoriti seterusnya membentuk kerajaan persekutuan di Putrajaya.

“Perlu satu lawan satu dalam pilihanraya. Jika kita gagal bekerjasama, kita akan gagal ke Putrajaya,” katanya dalam Konvensyen Pakatan Harapan yang sedang berlangsung di Shah Alam.

whatsapp-image-2016-11-12-at-13-03-37Selain itu, Kula juga menegaskan supaya sebarang masalah yang mungkin timbul di kalangan parti-parti Pakatan tidak dibawa terus kepada media sebaliknya diselesaikan secara tertutup bagi mengelak sebarang spekulasi negatif dan serangan BN.

“Kita perlu satu mekanisma supaya jika ada masalah boleh dibincang, jangan terus ke media,” tegas beliau.

Dalam masa yang sama beliau melahirkan rasa optimis bahawa PH dan pembangkang megara ini mampu memberikan kejutan dalam pilihanraya akan datang.

“Putrajaya sudah dekat untuk kita terajui negara.

“Bukan senang tapi jika dulu kita ada bekas Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam pakatan, sekarang kita ada mantan Perdana Menteri (Tun Mahathir) dan mantan TPM (Tan Sri Muhyiddin Yassin), apa lagi kita mau?” soalnya disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Konvensyen yang berlangsung di bangunan IDCC bermula pagi tadi adalah Konvensyen Pakatan Harapan yang pertama diadakan.

Ia dihadiri lebih 1,000 perwakilan dari DAP, PKR dan Amanah bagi membincangkan strategi berhadapan pilihanraya akan datang.

Turut hadir ialah wakil dari Parti Pribumi Bersatu termasuk mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir dan beberapa pimpinan utama parti serpihan UMNO itu. – Roketkini.com