Berita

Rakyat dambakan kerajaan yang mampu selesai masalah ekonomi – Guan Eng

SHAH ALAM, 12 NOV: Asas bagi melawan politik perkauman parti UMNO Barisan Nasional (BN) adalah dengan menyediakan satu solusi kepada beban ekonomi yang melanda rakyat hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucapannya di sidang konvensyen Pakatan Harapan hari ini berkata ia merupakan senjata paling ampuh bagi menewaskan propaganda politik identiti yang dimainkan UMNO BN.

“Barisan Nasional akan gunakan politik identiti dengan memainkan isu perkauman dan agama dalam pilihan raya akan datang.

“Mereka buat begitu supaya rakyat membenci pembangkang dan menunjukkan kononnya merekalah satu-satunya pilihan yang ada dalam PRU14,” katanya.

“Oleh itu, kita mesti melawan politik identiti mereka dengan meletakkan ekonomi sebagai agenda utama perjuangan. Kita mesti membuktikan bahawa Pakatan Harapan mampu menyelesaikan masalah ekonomi dan kenaikan kos sara hidup rakyat.”

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu, perkara tersebut boleh dilihat melalui kemenangan Barrack Obama dan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat, masing-masing pada tahun 2008 dan tahun ini.

“Pada 2008, Amerika alami krisis ekonomi. Sama juga dengan tahun ini, di mana rakyat kelas pertengahan rasa amat terancam. Jadi mereka memilih menyokong Trump yang mengangkat kepentingan ekonomi kelas pertengahan.

“Jika ekonomi Amerika sihat, rakyat tak akan undi Trump.

“Perkara serupa sedang berlaku di Malaysia. Dengan nilai ringgit yang menjunam dan beban GST yang semakin terasa, rakyat mengadu tidak cukup belanja,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng melahirkan pendapatnya bahawa perjuangan Pakatan haruslah berasaskan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

“Kita mesti jaga, lindungi dan pertahankan undang-undang dan semangat Perlembagaan Persekutuan secara habis-habisan.”

Beliau turut menjelaskan, semua pihak yang mahu bekerjasama bagi menentang kerajaan UMNO BN haruslah menentang skandal milik Kementerian Kewangan, 1MDB dan bukan hanya berpura-pura menentangnya.

“Kita tahu rakan-rakan Pakatan dan juga Parti Pribumi seperti Tan Sri Muhyiddin dan Mukhriz benar-benar menentang 1MDB. Jadi kita harus bekerjasama dengan mereka.

“Lawan rasuah ini sepatutnya tiada batasan, tiada sempadan. Asalkan rasuah, kita lawan habis-habisan,” tegasnya sambil menambah, pihak yang ingin melawan BN dalam pilihan raya nanti haruslah bersungguh-sungguh mahukan kemenangan agar kerajaan BN dapat benar-benar dikalahkan.

“Bila kita lawan BN, ia adalah untuk ganti BN. Bukan suka-suka bertanding, yang akhirnya menyebabkan BN menang. Jika kita nak bersama dengan parti-parti sebegitu, susahlah. Saya sebut ini secara ikhlas,” katanya. – Roketkini.com