Budaya

Mengenali Thirukkural – Bahagian 10

Sifat bersabar dilihat sebagai suatu sifat penting dan terpuji dalam kehidupan manusia. Sabar merupakan sebahagian (bukan separuh) daripada iman. Dalam budaya India, sering disebut bahawa individu yang bersabar (tidak terburu-buru) mampu menguasai dunia.

Aspek kesabaran juga disentuh dalam teks Thirukkural selenggaraan Thiruvalluvar. Sepuluh kural dalam Bab 16 karya moral ini membicarakan betapa penting nilai kesabaran dalam hidup manusia.

Dalam kehidupan seharian, kita pasti bertemu dengan orang yang mencabar kesabaran kita. Walaupun kita seorang yang penyabar, orang di sekeliling sentiasa menguji tahap kesabaran yang dimiliki.

Tidak setakat itu, ada masanya orang di sekeliling menghina dan memperlakukan kita dengan cara yang membuatkan kita terpaksa mengawal diri secara bersungguh-sungguh supaya dapat terus bersabar.

Keadaan ini diulas dalam Kural 151 dengan memberikan contoh tanah atau bumi. Apabila ada orang berdiri di atas tanah dan mengorek tanah itu menggunakan peralatan seperti cangkul, tanah akan tetap bersabar.

Tanah yang sedang dicangkul itu akan terus memberikan ruang kepada orang berkenaan untuk terus berdiri di atasnya. Demikianlah dibandingkan dengan orang yang penyabar. Walaupun kita dihina secara berterusan, teruslah bersabar sebagaimana tanah/bumi bersabar dengan pembinasa.

Selain daripada sifat bersabar, ada satu lagi sifat yang dinyatakan dalam Kural 152. Memanglah amat perlu untuk kita bersabar dan bertolak-ansur dengan perbuatan orang. Sebagai seorang yang penyabar, kita pasti mampu melakukannya.

Akan tetapi, dalam kebanyakan situasi, sikap bersabar sahaja tidak memadai. Adalah lebih baik jika kita belajar untuk melupakan terus perbuatan orang yang melakukan kejahatan terhadap kita. Sikap ini dikatakan lebih baik dan lebih bermanfaat berbanding sekadar bersabar.

Dalam Bab 9 (Kural 81-90), sudah dihuraikan tentang keperluan dan kepentingan melayan tetamu yang berkunjung ke rumah. Amalan itu digunakan sebagai perbandingan dalam Kural 153 untuk menerangkan kepentingan amalan bersabar.

Perbuatan tidak melayan tetamu disifatkan sebagai bentuk kemiskinan yang paling teruk dalam segala jenis kemiskinan di dunia. Kedudukan tuan rumah yang mengabaikan kebajikan tetamu yang berkunjung ke rumah adalah amat hina pada pandangan budaya India.

Dalam kural yang sama, Thiruvalluvar membandingkan pula dengan orang yang terus bersabar dengan segala perbuatan buruk yang dilakukan oleh orang lain terhadapnya. Individu berkenaan (penyabar) dikatakan sebagai orang yang paling kuat dalam kalangan orang terkuat di muka bumi. Demikianlah kedudukan tinggi yang diberikan kepada sifat penyabar yang dimiliki.

Jika kita mahu menikmati hidup yang sempurna, kita perlulah mementingkan amalan bersabar dalam kehidupan seharian. Perkara ini dinyatakan dalam Kural 154. Sekiranya direnungkan, pandangan ini memang amat logik.

Jika kita tidak ada rasa kesabaran, tentu semua perkara dalam kehidupan akan menjadi tidak sempurna. Sebaliknya, jika kita membuat perancangan, dan kemudian menerima apa-apa yang berlaku dengan tangan terbuka (sabar), maka kita akan dapat menikmati hidup yang lebih sempurna.

Menerusi Kural 155, dihuraikan tentang kesan daripada perbuatan kita apabila berdepan dengan orang yang melakukan keburukan. Dalam keadaan lazim, kita akan hilang rasa sabar dan tolak-ansur, lalu menjatuhkan hukuman ke atas individu yang melakukan perbuatan negatif.

Pada penelitian Thiruvalluvar, jika kita mengambil tindakan demikian, orang ramai (masyarakat) tidak pula menyanjung kita sebagai orang terhormat. Sebaliknya, nama baik kita juga akan tercalar kerana gagal mengawal perasaan.

Sebaliknya, jika kita terus bersabar apabila berdepan dengan orang yang menguji kesabaran kita, atau orang yang melakukan perbuatan negatif, maka dunia akan meletakkan nilai diri kita setinggi nilai emas, yakni meletakkan kita pada kedudukan yang amat tinggi.

Situasi di atas dihuraikan lebih lanjut dalam Kural 156. Mungkin kita sudah tidak mampu bersabar dengan perbuatan negatif yang dilakukan orang, lalu menghukum mereka. Kepuasan dan kegembiraan akibat tindakan kita mungkin hanya selama sehari.

Sebaliknya, jika kita terus berpegang kepada amalan bersabar serta mengawal diri daripada menjatuhkan sebarang hukuman terhadap orang yang melakukan perbuatan jahat (misalnya kezaliman dan penindasan), maka dunia akan mengenang kita hingga akhirat.

Pandangan seperti di atas mungkin boleh dibahaskan. Malah, keindahan karya-karya tradisional India adalah sifat terbuka untuk dikritik, diulas dan dibahaskan. Sama ada kitab-kitab veda, epik, purana atau agamam (peraturan), semuanya terbuka untuk dibahaskan demi kebaikan.

Begitulah juga dengan Kural 157 yang memberikan andaian diri kita menjadi mangsa kezaliman, penindasan atau perbuatan yang tidak adil. Dalam situasi seperti itu, Thirukkural memberikan saranan supaya kita tidak melawan atau menentang perbuatan itu. Sebaliknya perlu bersabar.

Kita dinasihatkan supaya tidak sesekali bertindak balas dengan melakukan apa-apa yang bertentangan dengan aram (dharma, keadilan). Pandangan ini mungkin sesuai dalam keadaan tertentu. Apa-apa pun, seperti yang sudah disebutkan, wajarlah juga dibahaskan dengan mengambil kira situasi semasa.

Dalam pada itu, mungkin akan timbul persoalan tentang apa yang wajar dilakukan terhadap orang yang menzalimi kita. Dalam Kural 158, dinyatakan tentang orang yang melakukan kejahatan, keburukan atau kezaliman terhadap kita berikutan kejahilan orang itu sendiri.

Pada pandangan Thiruvalluvar, kita sepatutnya mengekalkan jati diri dan nilai-nilai positif yang dimiliki. Maka, kita wajar menggunakan kesabaran dan kebaikan dalam diri kita untuk memenangi hati musuh.

Sejauh manakah kita perlu bersabar apabila berdepan dengan orang yang menguji kesabaran kita? Menurut Kural 159, walau sebanyak mana pun kata-kata penghinaan dilemparkan, kita perlu terus-menerus bersabar. Jadilah seperti sang pertapa yang berhati mulia dan tidak kisah dengan apa-apa yang berlaku di sekelilingnya.

Amalan viratam (puasa) merupakan salah satu budaya orang India beragama Hindu. Ada pelbagai bentuk viratam dalam budaya India. Orang yang berpuasa dipandang tinggi dan dihormati dalam masyarakat.

Bagaimanapun, menurut Kural 160 dalam Thirukkural, seseorang yang bertenang dan bersabar apabila berdepan dengan pelbagai penghinaan dan kezaliman, kedudukannya adalah jauh lebih mulia daripada orang yang mengamalkan viratam.

Seperti yang dinyatakan, pandangan dan hujah-hujah di atas terbuka untuk dibahaskan dengan mengambil kira situasi semasa. – Roketkini.com

* Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa. Kumpulan esei Mandala Bicara akan dilancarkan pada 13 November 2016.