Berita

Pegang pada ikrar, jangan lupa pada pengundi, pesan Mat Sabu

SHAH ALAM, 13 NOV: Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu mengingatkan parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan supaya berpegang pada ikrar dan tidak lupa kepada pengundi tegar yang telah memenangkan calon-calon pilihan mereka dalam pilihanraya lalu.

Ini kerana kumpulan pengundi tersebut sentiasa memerhatikan tingkah laku wakil-wakil pilihan mereka sama ada setia kepada rakyat atau tidak.whatsapp-image-2016-11-12-at-13-05-24

“Jangan lupa pengundi core kita. Kena jaga pengundi core kita.

“Mereka ini berbicara setiap hari. Adakah kita akan terus setia dengan perjuangan suci ini,” katanya dalam Konvensyen PH dekat sini semalam.

Beliau menegaskan bahawa tidak ada mana-mana parti yang boleh meletakkan diri sebagai ‘king maker’ dan mahu supaya parti-parti dalam PH setia kepada ikrar.

“Jangan kita kata kita nak jadi king maker, kalau sebelah sini jadi kerajaan kita bersama yang ini, kalau di sana jadi kerajaan kita bersama mereka.

“Kalau nak, ikat perjanjian betul-betul. Setia sebelum pilihan raya, semasa pilihan raya, selepas pilihan raya,” tegasnya.

Mengalu-alukan cadangan penggunaan satu logo bagi gabungan pembangkang, Mat Sabu berkata ia merupakan satu cadangan yang baik.

“Semua parti-parti tidak kuat. Tapi kalau gabung kita akan jadi parti terkuat. Inilah rakyat menaruh harapan,” ujar beliau.

Beliau berkata, setiap parti pembangkang perlulah berlumba-lumba melakukan kebaikan dan bertegas terhadap korupsi yang bermaharajalela di Malaysia.

“Mari berlumba lakukan kebaikan, bukan berlumba (persoal) mana ada bukti rasuah? Bukan berlumba pertahan keburukan.

“Kalau isu 1MDB ini tak boleh bincang di parlimen, di mana lagi. Di mana? Kita akan bincang dengan rakyat. Saya turun bincang dengan rakyat sekarang (sambil turun dari pentas)” katanya diiringi tepukan gemuruh perwakilan. – Roketkini.com