Berita

Golongan muda mahu penyelesaian kemelut ekonomi, bukan sekadar kritikan – DAPSY

SHAH ALAM, 12 NOV: Golongan muda negara ini tidak sekadar mahu mendengar segala kritikan pembangkang terhadap kepincangan pengurusan kerajaan Barisan Nasional.

Namun apa yang penting ialah sebuah penyelesaian mapan terhadap kemelut kos kehidupan mereka yang semakin menekan.

Ketua Sosialis Muda DAP Kebangsaan (DAPSY) Wong Kah Woh menegaskan, parti-parti dalam Pakatan Harapan perlu memahami minda anak muda, menjadi suara, menjadi harapan dan aspirasi golongan tersebut.

“Apabila mereka bersuara, kita harus mendengar dan sama-sama mencari jalan penyelesaian.

“Anak muda bukan mahu dengarkan kata nista dan kempen negatif terhadap kerajaan Barisan Nasional, mereka mahukan jalan penyelesaian dan jawapan kepada masa depan,” katanya di Konvensyen Pakatan Harapan Sabtu Lalu.

Justeru, ADUN Canning itu berkata, Pakatan Harapan perlu menyediakan pelan penyelesaian terbaik terhadap kemelut yang melanda golongan itu akibat kepincangan pengurusan kerajaan BN khususnya melibatkan dasar-dasar ekonomi dan pendidikan.

“Dengan itu, Pemuda Pakatan Harapan telah memulakan usaha untuk melakarkan manifesto anak muda menjelang PRU14, dan jawatankuasa khas telahpun dicadangkan dalam mesyuarat kita yang lepas.

“Kita membawa harapan, kita mendokong perubahan, dan saya dengan rendah diri ingin mencadangkan supaya Manifesto Anak Muda yang bakal dilakarkan ini, dinamakan dan ditemakan sebagai ‘Harapan Pemuda’,” katanya.

Menurutnya yang juga seorang peguam, ketempangan pengurusan BN telah menyebabkan kehidupan golongan muda semakin terbeban.

Ia telah menyebabkan kesan terhadap sistem pendidikan yang semakin mundur, kos sara hidup semakin tinggi, beban hutang semakin naik selain gaji permulaan yang rendah dan tidak meningkat.

“Kos barangan seharian memakan pendapatan mereka. Anak muda tidak lagi dapat menyimpan mahupun membeli rumah pertama. Jangankan beli rumah, bayar hutang PTPTN pun tak mampu.

“Anak muda tidak dapat menikmati hasil negara yang kaya ini, malah dihimpit dengan pelbagai kesukaran hidup. Itu yang mereka sering suarakan, itulah yang kita harus sahut,” tegasnya. – Roketkini.com