Berita

Bayar GST RM38.5 bilion, tapi caj hospital kerajaan naik 50 peratus?

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Tindakan kerajaan UMNO menaikkan caj wad dan rawatan hospital kerajaan bermula awal tahun hadapan membuktikan parti pemerintah itu kini kekurangan dana dan sanggup membebankan rakyat.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching berkata, adalah tidak wajar keputusan itu diambil memandangkan kerajaan telah mengutip berbilion ringgit daripada rakyat, hasil daripada pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sejak April tahun lepas.

“Kerajaan kutip GST sebanyak RM38.5 bilion tahun ini. Tetapi selepas rakyat bayar GST yang begitu banyak, mereka masih terpaksa membayar bil hospital kerajaan yang semakin tinggi,” katanya kepada Roketkini.

Menurutnya, golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu untuk membeli skim insuran dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada hospital kerajaan bakal terjejas teruk berikutan kenaikan kos berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar, Kosmo, semalam, yang memetik sumber Kementerian Kesihatan yang mendakwa kenaikan 50 peratus bagi caj wad dan rawatan akan bermula pada Januari 2017.

Akhbar itu turut melaporkan bahawa kenaikan berkenaan akan melibatkan semua jenis rawatan seperti wad am dan wad bersalin kelas satu dan dua. Bagi pesakit warganegara yang memilih untuk dirawat di kelas tiga pula, caj wad dan rawatannya dikekalkan pada kadar lama.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam kemudiannya mengesahkan perkara itu dalam sidang media semalam, sambil mempertahankan keputusan kerajaan untuk menaikkan caj tersebut dengan menjadikan kos operasi yang kian meningkat sebagai alasan.

Beliau bagaimanapun berkata kadar kenaikan itu masih belum diputuskan.

Mengulas lanjut, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, beliau telah menghantar soalan lisan kepada menteri yang bertanggungjawab bagi mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu di Parlimen.

“Saya harap menteri akan jawab soalan saya ini hari ini atau esok,” katanya.

Melalui Belanjawan 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen baru-baru ini menyaksikan peruntukan bagi kementerian tersebut telah dipotong sebanyak RM300 juta, mengulangi trend yang sama seperti dalam belanjawan sebelumnya. – Roketkini.com