Berita

Belanjawan P.Pinang: Kakitangan awam dapat bonus, insentif tambahan untuk guru agama

GEORGE TOWN, 15 NOV: Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini mengumumkan bonus akhir tahun sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM700.00 kepada seluruh kakitangan awam negeri itu.

Pengumuman itu dibuat Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2017 Pulau Pinang yang berlangsung hari ini.

Bayaran bonus yang akan dibuat pada bulan Disember ini melibatkan 4,178 penjawat awam negeri itu dengan peruntukan sebanyak RM4.19 juta.

“Kerajaan Negeri bersetuju mengambil kira kenaikan harga barangan termasuk minyak petrol, minyak masak dan bahan-bahan subsidi yang lain serta meluluskan bayaran bonus akhir tahun bersamaan dengan 0.5 bulan atau 1/2 bayaran gaji bulanan penjawat awam atau minimum RM700.00,” katanya.

Kerajaan Negeri juga katanya meluluskan bayaran tambahan sebanyak 0.25 bulan atau 1/4 bulan gaji kepada mereka yang tidak mengambil cuti sakit swasta melebihi 4 hari sehingga November 2016 serta tidak diluluskan cuti sakit tambahan sebagai insentif kehadiran kerja.

“Adalah diharapkan bayaran bonus ini akan meningkatkan semangat untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang lagi di tahun mendatang,” ujar beliau.

Selain itu, Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang turut memberikan RM300.00 kepada 1,502 Penyelia dan Guru KAFA, 225 Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, 185 Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat serta 522 Guru dan kakitangan Sekolah persendirian Cina.

Manakala, sebanyak RM200.00 pula diberikan kepada 279 Guru Tahfiz, Guru Pondok dan Guru TADIS Negeri Pulau Pinang.

Pembayaran ini kata ADUN Air Putih itu akan melibatkan tambahan perbelanjaan berjumlah RM786,000.00 yang akan dibayar pada Disember 2016. –Roketkini.com