Berita

Pakatan Harapan akan tutup mulut isu kos ECRL jika kerajaan jujur dedah butir kajian

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Lebih banyak persoalan yang timbul daripada jawapan yang diberikan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berhubung isu kenaikan kos projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Liow seperti dilaporkan media semalam mendakwa kejatuhan nilai ringgit adalah sebahagian daripada sebab berlakunya peningkatan kos sebanyak RM26 bilion bagi projek tersebut daripada hanya RM29 bilion menjadi RM55 bilion.

Perangkaan yang dipetik dalam kajian kebolehlaksanaan projek yang dilakukan oleh HSS Integrated itu, katanya, adalah berdasarkan kadar pertukaran ringgit-dolar pada 2009-2010.

Bagaimanapun, menurut Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, HSS hanya menyiapkan kajian bagi projek tersebut pada hujung tahun lepas dengan kadar pentukaran waktu itu RM4 setiap dolar.

Ia sekaligus, katanya, menimbulkan persoalan sama ada Liow mempersoalkan kredibiliti syarikat perunding terbabit yang menggunakan kadar pertukaran lama iaitu pada 2009-2010 dan telah melantik syarikat perunding baru bagi menjalankan kajian bagi projek ECRL.

“Memandangkan laporan secara menyeluruh oleh HSS mengambil masa enam tahun untuk disiapkan dan dimuktamadkan hanya pada Disember 2015, bagaimana kerajaan memutuskan untuk tiba-tiba membuat penyelarasan (kos) dalam tempoh enam bulan atau lebih?

“Adakah perunding kejuruteraan baru sebenarnya dilantik untuk menjalankan satu kajian baru yang dapat disiapkan dalam tempoh masa berkenaan?” soal Tony Pua dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu menyarankan kerajaan agar membuktikan ketelusan dengan mengarahkan supaya kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan HSS dan kajian susulan yang merubah skop kajian syarikat perunding itu didedahkan kepada umum.

“Dengan cara itu, jika apa yang Datuk Seri Liow kata adalah betul, maka pengkritik Pakatan Harapan tidak mempunyai pilihan tetapi untuk menutup mulut serta-merta.

“Jika tidak, Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA itu tidak mempunyai hak untuk menuduh kami kononnya membangkitkan isu itu demi ‘kepentingan politik’ semata-mata.

“Kerana adalah jelas apa yang kami mahu sebenarnya adalah untuk memastikan bahawa projek ECRL itu tidak menjadi satu lagi projek yang dana berbilionnya digelapkan oleh mereka yang berkuasa,” katanya. – Roketkini.com