Berita

Tun Dr Mahathir seru rakyat Malaysia sertai himpunan aman Bersih 5

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru seluruh rakyat Malaysia turun ke jalan raya menyertai perhimpunan aman Bersih 5 yang akan berlangsung 19 November ini.

Seruan itu dibuat melalui satu rakaman video ringkas sambil memakai baju-t Bersih 5.

Menurutnya, perhimpunan Bersih 5 amat penting sebagai protes demi menyelamatkan Malaysia daripada kerajaan BN dan Perdana Menteri Najib Razak.

“Saudara saudari sekalian. Malaysia kini sedang berada dalam keadaan cemas kerana pentadbiran Datuk Seri Najib telah menyebabkan negara terhutang berbilion-bilion ringgit yang tak dapat dibayar oleh kerajaan dan negara.

“Sebab itu kita perlu menunjuk perasaan tidak puas hati kita kepada kerajaan melalui penyertaan dalam demonstrasi oleh Bersih di Dataran Merdeka dan juga di tempat-tempat lain yang telah ditentukan,” katanya.

Beliau berharap semua rakyat Malaysia akan menyertai demonstrasi Bersih Sabtu ini sebagai mencari jalan memulihkan semula negara supaya tidak dipimpin oleh seorang yang melesapkan wang negara dengan begitu banyak seperti diketahui di seluruh dunia.

“Inilah harapan saya dan saya harap rakyat Malaysia akan memberi sokongan penuh dan mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan oleh Bersih!” gesa beliau.

Perhimpunan Bersih 5 yang akan berlangsung 19 November 2016 ini akan mengambil tempat di tiga lokasi utama di seluruh negara iaitu di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching. –Roketkini.com