Berita

Benarkah Johor telah berjaya membasmi kemiskinan?

JOHOR BAHRU, 18 NOV: Benarkah kemiskinan di negeri Johor telah menghampiri kadar sifar seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohd Khaled Nordin dalam ucapan belanjawan negerinya semalam?

Mengutarakan persoalan berkenaan, Penolong Setiausaha Publisiti Sosialis Muda DAP (DAPSY) Johor, Ahmad Anwar Asyraf berkata kerajaan negeri perlu menyemak semula penanda aras kemiskinan yang ditetapkan bagi mengetahui sama ada negeri itu benar-benar tidak mempunyai rakyat miskin.

“Apakah had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang digunapakai dalam menentukan sifar kemiskinan ini?

“Jika kerajaan negeri menggunakan PGK RM720 bagi satu isi rumah yang merupakan syarat kelayakan asas Bantuan Am JKM Johor, ia sebenarnya tidak mencerminkan realiti di luar,” katanya kepada Roketkini.

Ia ditambah pula dengan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim pada 27 Oktober lalu, bahawa jumlah permohonan baru bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk Johor adalah sebanyak 7,046.

“Ini bermakna, sebenarnya ada ramai lagi rakyat Johor yang masih memerlukan bantuan kebajikan.”

Menurut Anwar, kadar kemiskinan tidak lagi boleh diukur berdasarkan kemiskinan mutlak, sebaliknya harus diukur dengan kemiskinan relatif, yang merupakan separuh daripada median pendapatan isi rumah Johor berjumlah RM5,197, iaitu sebanyak hampir RM2,598.

“Selepas itu, barulah unjuran kemiskinan boleh dibuat supaya kita mempunyai data kemiskinan yang mencerminkan hakikat di luar sana,” ujarnya.

Perkara itu, jelas Pegawai Khas Adun Bentayan tersebut, telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor yang membuat takrifan semula dan menetapkan kategori miskin adalah untuk isi rumah yang berpendapatan RM1,500 ke bawah.

“Kita harap, kerajaan Johor dapat jadi sebuah kerajaan yang beretika dengan memberi unjuran-unjuran realistik kepada situasi semasa kehidupan rakyat, bukannya unjuran-unjuran kerajaan langit yang sekadar cantik di kertas,” tegas beliau. – Roketkini.com