Berita

Pemimpin PAS sertai Bersih 5 serah nasib kepada kepimpinan parti

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Siapa sangka ada pemimpin dan ahli PAS sanggup dan berani turun ke perhimpunan Bersih 5 walaupun parti itu sebelum itu menetapkan pendiriannya tidak menyokong perhimpunan aman tersebut.

Bahkan terbaharu ialah kenyataan Presiden PAS sendiri Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa ahli PAS yang didapati menyertai perhimpunan Bersih 5 bakal berhadapan tindakan, jika pihaknya mendapat aduan.

Ekoran perkembangan itu, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata beliau sedia berhadapan sebarang tindakan disiplin kerana menyertai Bersih 5.

Sambil menyerahkan keputusan kepada jawatankuasa disiplin parti, Mahfuz berkata tindakannya menyertai Bersih 5 adalah demi memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Apa yang saya buat adalah untuk rakyat. Saya menghadiri Bersih untuk rakyat Malaysia.

“Saya serah kepada jawatankuasa disiplin parti untuk buat keputusan. Terpulang kepada mereka menilai sama ada saya telah melakukan kesilapan,” jelasnya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Sebelum ini telah tersebar di media sosial beberapa gambar pemimpin dan wakil rakyat PAS yang turut serta dalam perhimpunan aman Bersih 5.

Selain Mahfuz, antara wakil rakyat PAS yang menyertai Bersih 5 ialah Ahli Parlimen Kubang Kerian Ahmad Baihaqi, Ahli Parlimen Pasir Puteh Dr Nik Mazian, ADUN Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, ADUN Kubang Rotan Mohd Nasir Mustafa dan ADUN Anak Bukit Ir Amiruddin Hamzah. – Roketkini.com