Berita

Tiada yang terkorban dalam banjir di Pulau Pinang, The Star dituntut mohon maaf

GEORGE TOWN, 22 NOV: Akhbar milik MCA, The Star dituntut memohon maaf dan menarik balik laporan muka hadapannya yang diterbitkan semalam kerana ia boleh memberi gambaran salah mengenai insiden banjir di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata laporan itu seolah-olah menunjukkan bahawa kejadian banjir di Pulau Pinang mengakibatkan kematian, sedangkan ia tidak pernah berlaku.

Lebih-lebih lagi apabila imej foto yang digunakan oleh akhbar tersebut tidak berlaku di Pulau Pinang, tetapi di Gerik, Perak.

“Laporan The Star ini bukan saja tidak beretika, tidak bermoral, malah merupakan satu penipuan.

“Sampai bila kita (kerajaan negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) akan terus dianiayai dengan laporan ‘double standard’ demikian?” katanya dalam sidang media semalam.

Menurut Setiausaha Agung DAP itu, The Star seharusnya lebih adil dalam melaporkan sesuatu berita dan tidak cuba menggambarkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai tidak bertanggungjawab dengan laporan salah.

“(Jadi) saya berharap The Star dapat menarik balik laporan itu dan memohon maaf kerana memberi gambaran yang tidak benar tentang banjir Pulau Pinang,” tegasnya.

Laporan muka hadapan The Star yang bertajuk ‘Under Water’ itu memaparkan imej foto seorang wanita yang ditenggelami air sehingga ke paras dada.

Ia turut memuatkan laporan dengan ayat Floods have claimed two victims in Penang and Kedah.. yang boleh memberi gambaran salah kepada pembaca. – Roketkini.com