Berita

Kos dua kali ganda pembinaan hospital di Tanjung Karang timbulkan persoalan

IPOH, 25 NOV: Peruntukan yang disalurkan Kementerian Kesihatan bagi membina hospital 150 katil di Tanjong Karang dipersoal ekoran kosnya terlalu mahal dan dianggap tidak munasabah berbanding kos pembinaan hospital kerajaan dan swasta terdahulu.

Ahli Parlimen Kampar, Dr. Ko Chung Sen berkata, kos pembinaan hospital yang menelan belanja RM277.2 juta atau RM1.848 juta bagi sebuah katil itu adalah lebih tinggi daripada kos pembinaan Hospital Shah Alam dan KPJ Kuching.

Katanya, Hospital Shah Alam yang hanya bertaraf pusat rujukan sekunder dan menempatkan 300 katil serta siap dibina pada tahun lepas menelan kos hanya RM550 juta atau bersamaan RM1.83 juta sekatil, manakala KPJ Kuching hanya memerlukan RM130 juta untuk 150 katil.

“Hospital Pakar KPJ Kuching baru yang mempunyai 300 katil juga dilengkapi semua kemudahan perubatan canggih iaitu perkhidmatan ortopedik dan traumatologi, kardiologi dan pembedahan jantung, kemoterapi dan radiasi onkologi serta pembedahan plastik.

“Semua perkhidmatan ini adalah yang tidak boleh didapati walaupun di kebanyakan hospital rujukan kecil negeri. Fasa satu Hospital KPJ Kuching mempunyai 150 katil dan dibina pada kos RM130 juta sahaja. Kos setiap katil hanya RM866,666.

“Ini kurang daripada separuh kos pembinaan Hospital Tanjong Karang dan juga Hospital Shah Alam,” jelasnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Mengambil kira kos yang tinggi daripada pembinaan dua hospital berkenaan, Chung Sen yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Perak justeru menggesa Menteri Kesihatan menjelaskan rasional di sebalik peningkatan mendadak kos pembinaan hospital di Tanjung Karang itu.

“Mengapa perlu membayar dua kali ganda untuk mendapat kemudahan yang kurang lengkap?” soalnya sambil menyatakan hospital yang akan dibina itu hanya dikategorikan sebagai ‘hospital perkhidmatan pakar minor’.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati Kementerian Kesihatan agar tidak membazir dalam menggunakan peruntukan yang ada memandangkan Belanjawan 2017 yang dibentangkan baru-baru ini telah memotong peruntukan kementerian tersebut.

“Dengan peruntukan untuk pembinaan hospital baru dalam Bajet 2017 diturunkan kepada RM177 juta, kita tidak boleh membazir lagi dan berharap untuk mencapai tambahan 100 katil hospital sahaja pada kos RM1.8 juta setiap katil.

“Malaysia memerlukan penambahan 30,000 katil untuk memenuhi keperluan kesihatan negara dengan 30 juta penduduk. Pada kadar sekarangi, ia akan mengambil kerajaan 300 tahun untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya.

Beliau turut mengingatkan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail sebelum ini agar kerajaan membina hospital baru bagi menggantikan Hospital Sultanah Aminah yang sudah berusia dan ditimpa tragedi kebakaran dua kali baru-baru ini.

Katanya, jika memenangi pilihan raya akan datang, Pakatan Harapan akan menambah peruntukan untuk pembinaan hospital baru dan memastikan semua projek membabitkan pembinaan hospital berkenaan dilakukan secara telus melalui tender terbuka. – Roketkini.com