Budaya

Mengenali Thirukkural – Bahagian 11

Dalam Bab 15 (Kural 141-150) teks Thirukkural, dihuraikan tentang sikap mengelakkan diri daripada menaruh keinginan memiliki isteri orang lain. Dalam Bab 18 pula, disentuh mengenai sikap menjauhi keinginan mahu memiliki harta dan kekayaan orang lain.

Dalam kehidupan, memang ada orang yang sentiasa mencuba pelbagai cara licik untuk merampas kekayaan milik orang lain. Biasanya, usaha mahu memiliki harta itu melibatkan cara yang tidak beretika dan tidak mengikut lunas keadilan.

Menerusi Kural 171, diingatkan bahawa seseorang yang berbuat demikian bukan hanya membawa kemusnahan kepada diri sendiri. Malah, kaum keluarganya akan turut mendapat kesan buruk akibat perbuatan itu. Dosa daripada perbuatan tidak bermoral perlu ditanggung sepanjang hayat.

Di pihak kita pula, apabila sudah melihat segala kejahatan dan ketidakadilan yang dilakukan orang tidak beretika, maka kita selaku insan yang bermoral dan mengamalkan kesaksamaan serta keadilan tidak akan sesekali tergamak melakukan perbuatan buruk seperti itu.

Demikian juga dikatakan oleh Thiruvalluvar menerusi Kural 172. Maknanya, walaupun hidup dikelilingi orang yang merampas harta dan kekayaan orang lain, kita sebagai insan beretika perlu mampu mengekalkan jati diri dan keadilan. Kita usah terikut-ikut atau terpengaruh dengan kejahatan.

Tentu sahaja manusia mahukan keamanan dan kebahagiaan dalam hidup. Kehidupan seperti ini boleh dicapai dengan mengamalkan dan memartabatkan nilai-nilai murni berdasarkan kod etika dan moral, serta patuh pada peraturan.

Seperti dijelaskan dalam Kural 173, individu yang memahami hakikat ini tidak sesekali cuba mendapatkan kebahagian kecil-kecilan (dan bersifat sementara) dengan cara merampas harta dan kekayaan milik orang lain. Sebaliknya, mereka akan sentiasa mahu menikmati kebahagiaan daripada sesuatu yang menjadi hak milik sendiri secara sah.

Bagaimana pula dengan golongan miskin dan tidak berharta? Apakah mereka berhak merampas harta orang lain supaya kekayaan dapat dinikmati bersama? Kural 174 mengingatkan kita bahawasanya setiap orang perlu mampu mengawal dan memelihara pancaindera, iaitu nafsu mata, telinga, lidah, kulit dan hidung.

Seorang individu yang berjaya mengawal pancaindera dengan penuh kesedaran dan pegangan etika yang tinggi, maka orang itu tidak sesekali akan berkeinginan untuk memiliki harta dan kekayaan orang lain. Walaupun dia seorang yang miskin, dia tidak sesekali mahu merampas hak orang lain.

Gambaran yang diberikan dalam Thirukkural memang kelihatan amat ideal. Dalam kehidupan seharian, kita melihat pelbagai perbuatan tidak beretika yang dilakukan dalam usaha merampas harta dan kekayaan orang lain. Pelbagai cara licik digunakan pihak tidak bertanggungjawab.

Perkara ini juga disedari Thiruvalluvar. Menerusi Kural 175, dikemukakan suatu pertanyaan retorik untuk direnungkan sedalam-dalamnya. Pendeta itu bertanya, jika seseorang berhajat mahu merampas harta dan kekayaan orang lain dengan cara yang tidak beretika, apakah gunanya segala pelajaran, ilmu dan pengetahuan yang dimilikinya?

Ilmu dan pengetahuan sepatutnya menjadikan manusia lebih beretika dan mengamalkan cara hidup yang bertamadun. Sekiranya orang itu masih tidak mampu mengawal nafsu (pancaindera) dan mahu memiliki kekayaan orang lain, maka pelajaran dan ilmu yang dimilikinya tidak ada apa-apa nilai.

Dalam kehidupan, kita mungkin pernah melihat orang yang pada mulanya begitu alim dan berusaha keras mendapatkan belas kasihan Tuhan. Orang yang alim ini tentulah dihormati dan dipandang tinggi dalam masyarakat.

Akan tetapi, seperti yang banyak juga berlaku di negara kita, akan ada pula golongan agamawan dan orang alim seperti ini – Islam atau Tidak Islam – yang didapati menggunakan cara-cara tidak beretika untuk memiliki harta dan kekayaan orang lain.

Mereka mungkin merupakan “penjual agama” atau orang yang menggunakan “topeng agama” untuk mencapai hasrat negatif itu. Mereka mungkin hanya kelihatan alim secara luaran, tetapi hati mereka tidak bersih.

Golongan seperti ini disentuh dalam Kural 176. Dinyatakan bahawa mereka sedang menghampiri kemusnahan dan keruntuhan. Tentu sahaja “topeng” mereka akan tertanggal sendiri dan segala keburukan mereka bakal diketahui umum.

Thiruvalluvar mengingatkan orang ramai supaya tidak sesekali memikirkan untuk memiliki atau merampas harta dan kekayaan orang lain. Seperti dijelaskan dalam Kural 177, mungkin harta yang dirampas atau diambil itu memberikan sedikit keseronokan, kemegahan dan kegembiraan kepada kita.

Bagaimanapun, nikmat memiliki harta rampasan itu tidak lama. Keseronokan memiliki kekayaan yang diperoleh menerusi cara tidak beretika pasti tidak kekal lama. Dalam tempoh terdekat, kita akan menderita dan ditimpa bala sebagai kesan daripada harta rampasan itu.

Setiap orang ada rezeki masing-masing. Menerusi Kural 178 dalam Thirukkural, diingatkan bahawa ada cara terbaik dan paling mudah untuk memastikan rezeki dan harta yang dimiliki secara sah tidak berkurangan.

Usahlah kita menyimpan hasrat, keinginan dan niat mahu merampas atau memiliki harta dan kekayaan orang lain. Berpuas hatilah dengan apa yang sudah dimiliki. Sedarlah bahawa perbuatan merampas harta orang lain tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan kepada kita. Jika panduan mudah ini boleh diamalkan, maka harta yang kita miliki selama ini tidak akan berkurangan.

Kural 179 menceritakan mengenai individu yang mengamalkan etika, moral dan tatasusila dalam hidup. Golongan seperti ini menyedari perkara-perkara yang dihuraikan di atas. Mereka tidak sesekali mempunyai niat dan keinginan mahu merampas atau memiliki harta dan kekayaan orang lain.

Sebaliknya, orang seperti ini selesa dan bahagia dengan rezeki yang dimiliki. Menurut Thiruvalluvar, orang seperti ini disayangi Tuhan. Pintu rezeki mereka akan dibuka lebih luas. Maka, orang yang beretika dibukakan ruang dan peluang mendapat harta dan kekayaan dengan cara yang betul.

Sebagai penutup kepada Bab 18, Kural 180 memberikan perbandingan mudah antara dua kelompok manusia. Satu kelompok mahu memiliki harta dan kekayaan orang lain. Natijahnya, kelompok itu mengalami kemusnahan yang tidak dapat dielakkan.

Satu lagi kelompok mengamalkan cara hidup beretika dan berpuas hati dengan apa-apa rezeki yang sedia dimiliki. Bagi kelompok ini, kejayaan dan kebahagiaan sentiasa menjadi milik mereka. Malah, pintu rezeki sentiasa terbuka. – Roketkini.com

* Uthaya Sankar SB adalah pengasas dan presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan). Buku terbaharu beliau berjudul Mandala Bicara.