Berita

Polis diminta siasat pemfitnah Adun DAP dan Majlis Bandaraya Shah Alam

SHAH ALAM, 27 NOV: Polis diharap menjalankan siasatan profesional supaya individu yang memfitnah Adun Sri Kembangan merangkap Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah dapat diambil tindakan sewajarnya.

Fitnah yang disiarkan oleh laman blog negarapakatanrakyat.com dan kemudian disebarkan melalui WhatsApp itu mendakwa kononnya kerajaan negeri Selangor mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membatalkan laporan berkaitan kekasaran terhadap seorang anggotanya di sini, baru-baru ini.

Dalam posting blog itu, Hian Wah turut difitnah menjadi peguam yang mewakili pasangan yang mengasari anggota penguatkuasa MBSA tersebut.

Beliau kemudiannya membuat dua laporan polis berhubung isu itu, semalam.

Menurutnya, laporan dibuat bagi membersihkan nama beliau, parti DAP dan kerajaan negeri Selangor yang sengaja diburuk-burukkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Maklumat yang tersebar di blog dan WhatsApp itu adalah tidak berasas.

“Saya tidak pernah memberi arahan kepada MBSA atau membela pasangan suami isteri yang mengasari anggota penguatkuasa tersebut,” tegasnya.

Hian Wah berkata beliau tidak pernah bertemu pasangan tersebut serta yakin bahawa fitnah tersebut berunsur politik.

“Inilah kerja jahat dan kotor yang cuba mensabotaj nama baik DAP dan kerajaan negeri Selangor.

“Pihak yang terlibat bukan setakat menyebarkan politik kebencian, tetapi turut cuba mengapi-apikan isu tersebut sebagai isu perkauman,” ujarnya, kesal.

Hian Wah ditemani Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Adun Kota Alam Shah, V. Ganabatirau selain wakil-wakil MBSA membuat laporan polis di IPD Shah Alam kira-kira 10 pagi semalam. – Roketkini.com