Berita

Anugerah Puskas: Kejayaan Faiz Subri harumkan nama Pulau Pinang dan negara

*Kredit foto: Youtube Fifa

GEORGE TOWN, 28 NOV: Kejayaan pemain Penang FA, Mohd Faiz Subri yang menempa nama sebagai antara 10 pemain yang layak untuk merebut Anugerah Puskás Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) harus diraikan dengan rasa bangga oleh seluruh rakyat Malaysia.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari dalam kenyataannya kepada Roketkini hari ini justeru berharap seluruh rakyat di negara ini, khususnya yang meminati sukan popular itu memberikan sepenuhnya sokongan dengan mengundi anak jati Pulau Pinang itu.

“Saya sendiri telah menyaksikan gol Faiz secara langsung di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. Gol itu sememangnya menakjubkan.                        

“Semoga dengan sokongan padu rakyat Malaysia, diharap nama negara dapat diharumkan di persada bola sepak antarabangsa,” ujar Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera.

Pemain berusia 29 tahun itu turut bersaing dengan pemain terkemuka dunia antaranya pemain dari Argentina, Lionel Messi dan pemain dari Brazil, Neymar.

Ketika laporan ini ditulis jumlah like yang diperolehi Faiz yang merupakan pemain penyerang tengah skuad Pulau Pinang di laman Youtube rasmi FIFATV mendahului kedua-dua bintang bola sepak berkenaan.

Anugerah yang mula diperkenalkan pada 2009 berkenaan merupakan satu pengiktirafan FIFA kepada pemain yang mencipta gol cantik pada setiap tahun.

Jumaat minggu ini merupakan hari terakhir untuk orang ramai mengundi 10 barisan pemain berkenaan sebelum badan induk bola sepak itu mengumumkan tiga pemain yang akan disenarai pendek bagi menerima anugerah berprestij tersebut.

Undian boleh dibuat di laman sesawang berikut: http://www.fifa.com/the-best-fifa-football-awards/puskas-award/video=2852517/index.html – Roketkini.com