Rencana

Jangan heret Bangsa Johor dengan politik perkauman UMNO

Dalam ruang yang terhad ini, saya akan cuba menyentuh ulasan balas Ketua Pemuda Umno Johor. Saya harap ia tak terlalu panjang dan memenatkan untuk rakyat membacanya.

Hahasrin mengatakan kenyataan saya tersasar berkenaan ‘substan’ belanjawan negeri Johor 2017. Saya kira, beliaulah yang terkhilaf membaca ulasan saya, mungkin beliau beremosi ketika membaca hingga terlepas pandang konteks ‘substan’ yang saya maksudkan.

Secara spesifik dari awal ulasan, saya hanya merujuk kepada ucapan dan dakwaan YAB Menteri Besar Johor tentang parti DAP, yang terkandung di dalam ucapan penggulungan belanjawannya. Ulasan saya konsisten dalam konteks tersebut, saya tak menyentuh langsung program-program belanjawan 2017 yang dibentangkan.

Perkataan saya berkaitan hujah YAB MB tiada substan itu merujuk kepada dakwaan beliau ke atas DAP sebagai parti rasis dan tidak membantu pembangunan kaum Melayu dan India di Pulau Pinang. Inilah konteks ‘substan’ yang saya maksudkan.

Tiada substan ini bermaksud tiada bukti sandaran yang sahih berkenaan dengan tuduhan kerajaan Pulau Pinang tidak membantu kaum Melayu dan India, ini dia maksud saya.

Saya mohon, ulasan saya itu disemak baca kembali agar Hahasrin tidak terkhilaf.

Berkaitan dakwaan Hahasrin bahawa kenyataan saya bernada rasis bila saya merujuk kepada tahap pencapaian wakil rakyat dan EXCO bukan Melayu BN Johor, saya rasakan itu agak keterlaluan.

Agar Ketua Pemuda Umno Johor ini tidak lupa, selepas PRU 13, apabila MCA mengumumkan bahawa wakil partinya tidak akan mengambil apa-apa portfolio di Johor, siapakah yang bertegas mahu penglibatan pelbagai kaum dalam kerajaan negeri?

Adakah Menteri Besar UMNO? Jika tidak kerana keprihatinan dan semangat tulen Tuanku Sultan Johor yang mahu ada kepelbagaian kaum dalam kabinet negeri, pasti Khaled Nordin dan UMNO tidak akan melantiknya.

Sebelum mendakwa saya rasis, mengapa tidak disemak dahulu ucapan YAB Menteri Besar?

MB Johor sendiri membuat dakwaan perkauman apabila mengatakan kerajaan Pulau Pinang tidak membangunkan kaum Melayu dan India, dengan maksud lain, kerajaan Pulau Pinang mengutamakan satu kaum dan menganaktirikan kaum Melayu dan India.

Saya ingin beri ingatan, serangan YAB MB terhadap DAP dan kerajaan Pulau Pinang sebenarnya bukan hanya menghina kerajaan negeri atau parti, tetapi ucapan berkudis YAB MB ini turut menghina orang Melayu dan India Pulau Pinang, seolah-olah kaum ini terlalu jahil memilih kerajaan Pakatan Harapan.

Biar saya jelaskan sedikit bagaimana kerajaan negeri Pulau Pinang membuat dasar kepada rakyatnya.

Jika disemak prestasi sejak mengambil alih kerajaan Pulau Pinang, pada 2009 kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM37.25 juta untuk hal ehwal Islam, meningkat lagi sebanyak RM39.60 juta (2010), RM65.27 juta (2011), RM66.38 juta (2012), RM55.13 juta (2013) dan RM52.21 juta (2014).

Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan Sekolah Agama Rakyat (SAR) sebanyak RM1.5 juta pada 2008 dan 2009 sebelum ditambahlagi kepada RM1.75 juta pada 2010 hingga 2014.

Semasa pemerintahan BN, paling banyak mereka hanya menyediakan peruntukan hal ehwal Islam hanya RM25.49 juta dan  tidak pernah memberi sumbangan kewangan kepada SAR walau satu sen pun.

Sejak mentadbir Pulau Pinang, golongan huffaz (pelajar hafiz quran) sejak 2008 diberi peruntukan RM30,900, pada 2009 RM65,000, meningkat lagi pada 2010 RM90,000, 2011 RM130,000, 2012 RM175,000 dan pada 2013 RM202,500.

Malah kerajaan Pulau Pinang menambah lagi RM500,000 tiap-tiap tahun sebagai bonus kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), SAR, Maahad Tahfiz, Tadika Islam dan Tadika Pondok.

Semua ini merujuk kepada konsep, mereka yang ‘alim dan mengamalkan ajaran agamanya dengan khusyu’ dan ikhlas, mereka akan menjauhi rasuah dan korupsi. Ini agenda DAP.

Berkaitan aspek pembangunan dan ekonomi, kerajaan negeri Pulau Pinang telah memberi bantuan mikro-kredit tanpa faedah kepada peniaga-peniaga kecil semua kaum dan mengurangkan bayaran lesen penjaja dan nelayan sebanyak 50% juga kepada semua kaum.

Sejak 2008 hingga kini, Pulau Pinang melaksanakan sistem tender terbuka di mana sebanyak 70 peratus kontraktor Melayu berjaya memperolehi kontrak.

Inilah cara kerajaan Pulau Pinang membantu golongan B40 yang rata-ratanya orang Islam dan Melayu, bukan seperti acuan UMNO BN yang membantu rakyat mengikut pecahan kaum dan musim pilihanraya.

Ini hanya sebahagian kecil maklumat yang saya kongsikan, takkan saya nak beri taklimat khas kepada Ketua Pemuda Umno ini berkenaan semua pelan kerajaan Pulau Pinang.

Maklumat di atas juga tidak termasuk dasar-dasar pro rakyat yang UMNO BN telah ciplak dari kerajaan Pakatan Harapan dan dilaksanakan di negeri mereka.

Sebelum 2008, pernah kita dengar Johor beri air percuma kepada rakyat? Bas percuma untuk rakyat?

Jika Hahasrin mendakwa kerajaan Pulau Pinang tiada dasar untuk kaum Melayu atau India, ya itu betul kerana kami tidak melihat kemiskinan rakyat menerusi kacamata UMNO iaitu perkauman, kami melihat kemiskinan dan kesusahan rakyat dalam konteks keperluan rakyat semua kaum rentas agama.

Yang nyata, Pulau Pinang adalah negeri terawal yang berjaya membasmi kemiskinan tegar. Maknanya, di Pulau Pinang tiada mana-mana kaum yang miskin tegar. Kalau tak faham juga, tak tahulah saya.

Di Johor pada 2016, masih bersilat lidah antara sifar miskin, miskin apa? Miskin tegar? Kumpulan Mudah Miskin? Miskin apa ni?

Kemudian MB mendakwa lagi bahawa agenda parti DAP tidak sesuai dengan aspirasi Bangsa Johor kerana faktor ‘rasis’ yang didakwanya itu.

Saya petik kembali ulasan Hahasrin yang menyatakan bahawa konsep Bangsa Johor ini telah sedia wujud sekitar 1920-an. Hahasrin sendiri yang mencadangkan bahawa konsep ini adalah dari idea atau wawasan Sultan Johor ketika itu. Sultan hari ini, meneruskan kesinambungan sejarahnya, syabas Tuanku!

Maka soalan saya, adakah zaman 1920-an itu UMNO sudah wujud? Jadi mengapa YAB MB nak mengasosiasikan UMNO dengan idea Bangsa Johor? Mengapa YAB MB dan Hahasrin mahu mahu mengheret Bangsa Johor dalam politik perkauman sempit UMNO ini?

Hahasrin ada menyebut tentang saya dan parti saya perlu celik sejarah. Saya amat bersetuju tetapi bukan sahaja saya, malah beliau dan barisan Pemuda UMNO Johor sendiri harus celik sejarah politik Johor.

Sejarah politik di Johor itu tidaklah lurus, ia penuh berliku apatah lagi sejarah pengkhianatan UMNO kepada pemimpin dan rakyat.

UMNO lahir di Johor, ia wujud atas inisiatif Onn Jaafar, lupakah Pemuda UMNO apabila karier politik Dato’ Onn Jaafar dibunuh oleh pemimpin UMNO sendiri?

Apakah Pemuda UMNO tidak menyemak sejarah pengusiran penduduk setinggan yang miskin di Tasik Utara pada tahun 1974?

Lupakah Pemuda UMNO bagaimana kerajaan UMNO melabel Mat Indera yang bangun melawan British sebagai pengkhianat bangsa?

Lupakah Pemuda UMNO Johor pengkhianatan terkini Presiden Najib Tun Razak kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya kerana dia melawan korupsi Najib?

Jika dakwaan YAB MB ke atas DAP ini benar. Dapatkah Hahasrin menyenaraikan tanah Melayu mana di Johor yang telah dijual oleh DAP?

Jika maklum balas saya ini tidak memadai, insyaAllah kita boleh berdiskusi bila bertemu di mana-mana warung kopi nanti.

Malah jika dirasakan perlu, Hahasrin boleh datang dan bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Piai, saya rasa peluang Hahasrin untuk menang disitu, besar. Tak perlu lawan saya, siapalah saya, saya sekadar budak suruhan DAP seperti kata saudara.

Saya percaya masa depan politik Hahasrin ini cerah. Dengan syarat, jangan mengheret Bangsa Johor dalam politik perkauman sempit dia dan Menteri Besar.

*Mahdzir Ibrahim ialah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor