Rencana

Contohi dasar Pulau Pinang tangani pemaju cuai, elak kemalangan tapak pembinaan

Rakyat digemparkan dengan kemalangan di tapak pembinaan pemaju SP Setia yang meragut nyawa sekurang-kurangnya seorang pekerja asing di Mid Valley. Ini merupakan kemalangan maut di tapak pembinaan kedua dalam masa kurang daripada sebulan.

Rakyat pastinya tidak boleh melupakan kematian sepasang suami isteri yang disebabkan oleh kecuaian kontraktor di tapak pembinaan di mana kereta yang dipandu mereka dihempap cerucuk kren yang tumbang dari sebuah tapak pembinaan di Meru.

Maklumat yang diterima saya pada masa itu ialah pihak penguatkuasaan Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak dibenarkan masuk untuk menyiasat kemalangan tersebut. Adakah statusnya masih begitu selepas tiga minggu?

Rakyat kini tertanya-tanya, sampai bilakah kematian di tapak pembinaan perlu berlaku sehingga pihak kerajaan akan bertindak tegas terhadap pemaju yang cuai? Bilakah mereka akan didakwa di mahkamah dan dipenjarakan?

Tiga bulan lalu, Chin Khoon Sing, 24, mati apabila sebuah cangkuk besi jatuh menghempap keretanya di Jalan Raja Chulan. Enam bulan lalu, Yong Chee Seng, 86 tahun jatuh ke dalam sebuah lubang jalan yang dibuka untuk kerja naik taraf IWK di Petaling Jaya. Beliau mati dua minggu kemudian.

Pada Mei 2015, seorang pekerja warga Bangladesh maut dalam kemalangan di tapak pembinaan bawah tanah Tun Razak Exchange (TRX) di bawah projek MRT. Pada Ogos 2014, tiga pekerja binaan lelaki warga Bangladesh mati di tapak MRT Kota Damansara.

Kemalangan di tapak pembinaan semakin membimbangkan. Statistik Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menunjukkan bahawa seramai 1,622 orang terbunuh sejak tahun 1999. Untuk tahun 2011 hingga 2015, purata 99 kematian berlaku setahun berbanding dengan 27 kematian di Singapura, 26 di Australia dan 19 di Hong Kong. Kini, ianya menyumbangkan 41 peratus daripada jumlah keseluruhan angka kematian pekerjaan. Kematian pekerja tempatan yang tertinggi berlaku di Selangor.

Ini menunjukkan kesedaran keselamatan pekerjaan yang rendah di kalangan kontraktor, contohnya pihak kontraktor didapati masih menggunakan pekerja asing yang tidak mahir dan tidak bertauliah untuk mengendali jentera berat di dalam tapak pembinaan untuk mengurangkan kos.

Satu fenomena yang semakin membimbangkan kita adalah, walaupun 80 peratus daripada angka kematian melibatkan pekerja-pekerja yang bekerja di kilang atau syarikat kecil dan sederhana, kematian ngeri yang berlaku di beberapa tapak pembinaan kebelakangan ini melibatkan syarikat dan kontraktor ternama seperti SP Setia, IJM, WCE, MMC dan Gamuda.

Selain daripada itu, kegagalan dalam penguatkuasaan juga merupakan faktor penyebab kematian yang tinggi di Malaysia. Mengikut buku “Malaysian Industrial Relations & Employment Law” tulisan Maimunah Aminuddin pada tahun 2013, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mempunyai 1,285 kekosongan Pegawai Penguatkuasa Keselamatan Pekerjaan di seluruh Malaysia. Walaupun begitu, pada tahun 2012, hanya 8 peratus daripada kekosongan ini yang telah dipenuh.

Di bawah Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994, JKKP mempunyai kuasa untuk mengeluarkan “Improvement and prohibition notice” kepada majikan yang tidak mematuhi peraturan di bawah Akta ini. Untuk tahun 2000, terdapat 1,023 notis telah dikeluarkan manakala seramai 22 kes pendakwaan telah dibawa ke mahkamah.

Angka ini telah melonjak naik ke 6,216 notis dan 183 pendakwaan pada tahun 2011, sekaligus menunjukkan bahawa kesedaran terhadap kesihatan dan keselematan pekerjaan yang semakin merosot di kalangan majikan.

Dalam kes kematian mendiang Chin Khoon Sing, Kerajaan Pulau Pinang telah menyenarai-hitamkan Beijing Urban Construction Group (BUCG), kontraktor yang menyebabkan kematian mendiang, daripada terlibat dalam mana-mana projek di negeri berkenaan. Sememangnya, inilah dasar toleransi sifar yang diperlukan untuk mengelak kematian di tapak pembinaan daripada terus meningkat.

Maka saya mendesak agar dasar kerajaan Pulau Pinang dihalusi dan diterima oleh semua kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, di mana kebenaran merancang boleh ditarik balik dan kontraktor-kontraktor atau pemiliknya yang cuai dilarang daripada mengambil bahagian dalam mana-mana projek pembangunan di dalam negeri masing-masing atau mengambil bahagian dalam mana-mana projek pembangunan kerajaan negeri, kerajaan persekutuan atau projek-projek syarikat GLC kerajaan, baik negeri atau persekutuan.

Pihak pendakwaan dan pihak penyiasat (pihak JKKP) tidak boleh leka lagi dan mesti mendakwa pemaju yang cuai ke mahkamah. Mahkamah juga yang perlu meninjau kemungkinan untuk menjatuhkan hukuman maksima termasuk hukuman penjara terhadap pesalah dan bukannya sekadar hukuman denda, sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994.

Nescayanya, langkah-langkah drastik ini akan mempamerkan komitmen kerajaan terhadap untuk mewujudkan alam pekerjaan yang mesra pekerja dan betul-betul mengutamakan keselamatan. – Roketkini.com

*Lau Weng San adalah Adun Kampung Tungku merangkap Penolong Bendahari DAP Selangor