Rencana

Ketua Polis Negara jangan nafi, Malaysia memang hab jual bayi

Laporan BBC pada 22 Julai 2002 bertajuk “Polis mensasarkan penjual bayi Malaysia’ menyanggah dakwaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kononnya Malaysia bukan hab jual bayi. Ia kerana selepas 14 tahun, masih wujud sindiket yang menggunakan pembelian dan penjualan bayi sebagai satu industri yang menguntungkan.

Menerusi pendedahan beberapa tahun kebelakangan ini – dari pelarian di Malaysia, kanak-kanak ‘halimunan’ Sabah, nasib pribumi Orang Asli, kepada aktiviti pemerdagangan manusia – minggu lalu, Al Jazeera 101 membongkar satu lagi kebusukan yang terjadi di tanah air kita ini, iaitu sindiket penjualan bayi yang semakin menular tahun demi tahun. Ia merupakan wabak yang tidak dapat dikesan, malah dilindungi pula oleh doktor, pusat kebajikan, pegawai Jabatan Pendaftaran Negara serta polis.

Tentu sekali Ketua Polis, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kesihatan menyatakan akan menjejaki urus niaga dan memberi komitmen penuh dalam mempercepat proses pengambilan anak angkat, menyiasat semua individu yang terlibat serta membawa mereka ke muka pengadilan.

“Tidak dinafikan aktiviti penjualan bayi berlaku di negara ini, namun ia tidak semudah yang dilaporkan dalam program terbitan Al-Jazeera itu. Polis giat menangani isu berkenaan dan ini dibuktikan dengan penubuhan Unit Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Orang (Atipsom) D7C pada 2008, dan Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah PDRM,” kata Ketua Polis.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa polis tidak bersungguh-sungguh menangkap penjual bayi, serta menekankan berlaku 6 tangkapan dari tahun 2010 termasuk ke atas doktor dan jururawat yang terlibat. Beliau turut menyatakan 4 bayi diselamatkan dalam operasi berasingan pada 2014 dan 2015.

Walaupun kredit harus diberi kepada polis dan doktor yang bermoral dan tidak membenarkan prinsip serta etika mereka dikompromi oleh rasuah, wujud polis dan doktor ‘kotor’ serta tidak bermoral yang membenarkan aktiviti berkenaan berlaku.

Ini terbukti dengan hanya 6 tangkapan dibuat dalam masa 6 tahun sedangkan angka sebenarnya jauh lebih besar, lebih-lebih lagi apabila ia sudah bermula sejak tahun 2002.

Menelusuri kembali laporan BBC pada 2002, jelas dilihat bahawa jumlah bayi yang dijual dalam pasaran gelap amat membimbangkan. Malah, ketika itu pihak polis Malaysia dan Indonesia berbincang mengenai langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani perdagangan tersebut. Laporan tersebut turut mendakwa salah satu kumpulan yang menjalankan sindiket berkenaan menyimpan 30 wanita hamil di sebuah pangsapuri tunggal di Kuching, Sarawak. Ini adalah pada 2002, iaitu 14 tahun yang lampau.

Dengan wujudnya penyalahgunaan kedudukan, kuasa dan pangkat oleh doktor, pegawai penjagaan kesihatan, serta polis dan kakitangan JPN, industri ini terbukti dapat beroperasi secara senyap tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyatakan insiden tersebut harus menjadi iktibar dan pencetus kesedaran kepada semua pihak serta menggesa polis untuk menjalankan siasatan. Menteri Kesihatan, Datuk Dr. S Subramaniam pula telah pun memulakan siasatan dan memberi komitmen dalam menarik balik lesen doktor serta pusat-pusat yang terlibat dengan sindiket penjualan bayi itu.

Hanya Ketua Polis yang seolah-olah berada dalam sindrom penafian.

Saya telah membangkitkan isu peningkatan jumlah bayi luar nikah menurut statistik JAKIM dan proses anak angkat di Parlimen pada 30 Oktober 2014. Dalam satu artikel disiarkan The Star pada 28 September 2014, lebih banyak pusat perlindungan bayi (baby hatch) akan ditubuhkan di seluruh negara. Ia melalui usahasama antara OrphanCARE Foundation dengan KPJ Healthcare Sdn Bhd serta dipantau oleh Kementerian Wanita.

Sehingga 2014, sebanyak 3700 permohonan pengambilan anak angkat sedang dalam senarai menunggu dan dianggarkan wujud lebih 400,000 kanak-kanak yatim di rumah anak yatim seluruh negara yang menanti untuk diambil sebagai anak angkat.

Di sebalik semua usaha ini, bagaimana kita boleh berada dalam situasi begini pada hari ini?

Soalan-soalan Parlimen yang dibangkitkan oleh wakil rakyat adalah lebih daripada sekadar rungutan kosong. Biarpun banyak amaran diberi, kerajaan Malaysia telah gagal bertindak pantas dalam membendung perdagangan yang amat kejam dan menyedihkan tersebut.

Ketua Polis sepatutnya menyatakan bahawa pihak beliau akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku tanpa sebarang rasa takut atau pilih kasih, tidak kira sama ada wujud mana-mana di antara mereka yang mempunyai kepentingan atau hubungan erat dengan orang atas.

Ketua Polis seharusnya menyatakan bahawa beliau tidak takut dan malu. Sebaliknya, beliau mengambil pendirian amat defensif yang akhirnya boleh memudaratkan proses penyiasatan dan pendakwaan.

Ketua Polis mesti turun dari ‘takhta’ dan menjelaskan kepada umum secara profesional tentang peningkatan jumlah bayi yang dijual di pasaran gelap selepas 14 tahun laporan BBC disiarkan. Itu lebih penting daripada cuba menafikan kebenaran pahit bahawa Malaysia sememangnya adalah hab jual bayi. – Roketkini.com

*Kasthuri Patto merupakan Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Setiausaha Publisiti Wanita DAP