Berita

Orang Asli Temiar bukan penjenayah, cuma pertahan tanah dan budaya

KLANG, 1 DIS: Seramai 49 Orang Asli Temiar yang ditahan di Gua Musang kelmarin bukanlah penjenayah sebaliknya hanya mempertahankan tanah mereka dari terus dieksploitasi pihak-pihak tertentu.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata sejak beberapa bulan lalu, banyak kemusnahan hutan yang mencemarkan alam sekitar termasuk sungai telah berlaku dan ia menjejaskan sumber makanan dan minuman Orang Asli.

Justeru, tindakan protes Orang Asli terhadap kemusnahan sumber alam itu tidak menghairankan kerana kehidupan mereka yang sangat berkait rapat dengan alam semulajadi terancam.

“Eksploitasi sumber asli di hutan yang merupakan rumah kepada Orang Asli, sama ada melalui projek-projek penswastaan negeri atau pembalakan haram telah berlaku selama beberapa dekad.

“Blockade yang dibuat Orang Asli Temiar adalah semata-mata untuk menghentikan pencerobohan tanah untuk aktiviti pembalakan,” katanya dalam satu kemaskini status Facebook.

Menurut Charles, kerajaan negeri serta polis perlu memahami bahawa tugas mereka adalah untuk melindungi kepentingan serta kebajikan rakyat dan bukannya menjaga kepentingan pembalak.

“Secara dasarnya, kerajaan negeri telah meluluskan permohonan pembalak-pembalak kaya yang akhirnya merosakkan periuk nasi Orang Asli Temiar.

“Polis pula bukannya menahan pemilik syarikat pembalakan, tetapi mensasarkan golongan yang terpinggir,” katanya.

Beliau menjelaskan, populasi masyarakat Orang Asli termasuk dari suku Temiar hanya meliputi satu peratus dari keseluruhan jumlah penduduk di negara ini.

“Masyarakat yang dulunya mempunyai autonomi politik dan bebas, kini menjadi kumpulan paling terpinggir dan terpaksa bergantung kepada Kerajaan Persekutuan.

“Ini kerana di bawah nama mengintegrasikan mereka ke dalam masyarakat arus perdana, kerajaan telah melaksanakan program-program dan strategi ‘deculturalisation’ (yang menyaksikan kehancuran budaya),” ujarnya. – Roketkini.com