Berita

Syarikat akibatkan kematian pekerja dan orang awam harus disenaraihitam

PETALING JAYA, 1 DIS: Kerajaan Persekutuan wajar mencontohi tindakan tegas Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap syarikat pemaju yang mengabaikan aspek keselamatan sehingga telah mengakibatkan kematian pekerja dan orang awam.

Adun Kampung Tunku Lau Weng San berkata kerajaan Pakatan Harapan itu telah mengambil tindakan tegas dengan menyenaraihitamkan sebuah syarikat asing daripada terlibat dengan projek di negeri itu ekoran kecuaian yang mengakibatkan kematian orang awam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemalangan di tapak pembinaan dekat pusat membeli belah, Mid Valley yang telah meragut seorang mangsa dan tiga lagi tercedera pada lewat petang, semalam.

Menurutnya dasar toleransi sifar terhadap syarikat pemaju seumpama itu harus diamalkan kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri yang lain bagi mengelakkan peningkatan kematian di tapak pembinaan.

“Saya mendesak agar dasar kerajaan Pulau Pinang dihalusi dan diterima oleh semua kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

“Kebenaran merancang boleh ditarik balik dan kontraktor-kontraktor atau pemilik yang cuai dilarang daripada mengambil bahagian dalam mana-mana projek pembangunan di negeri masing-masing.

“Syarikat yang didapati cuai juga tidak harus dibenarkan mengambil bahagian dalam mana-mana projek pembangunan kerajaan negeri, kerajaan persekutuan atau projek-projek Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), baik negeri atau persekutuan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian malang itu, laluan pejalan kaki yang dalam pembinaan menghubungkan KL Eco City dan The Gardens berdekatan Pangsapuri Abdullah Hukum di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur telah runtuh dan mengorbankan seorang pekerja manakala tiga lagi parah. – Roketkini.com