Rencana

Iktiraf UEC, junjung harapan rakyat

Saya menyeru kepada Pakatan Harapan untuk menyenaraikan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam Manifesto Bersama Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun telah mengugut kaum Cina secara terbuka dengan mencadangkan idea penghapusan sekolah aliran Cina. Jelas sekali ucapan Naib Ketua Pemuda Umno tersebut adalah hasil pemikiran seluruh UMNO dan bersifat rasis serta bertujuan untuk memecahkan perpaduan rakyat Malaysia.

Kelayakan Sijil UEC Bertaraf Antarabangsa

Kelayakan UEC telah lama diiktiraf oleh pelbagai institusi akademik di seluruh dunia. UEC telah diterima oleh universiti terkemuka seperti California Institute of Technology, Harvard University, Oxford University, University of Cambridge, University of Toronto, National University of Singapore, University of Melbourne dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Najib Razak mahupun MCA enggan menerima fakta ini dan terus mengabaikan pengiktirafan UEC demi mengangkat dasar politik perkauman yang diamalkan oleh UMNO BN selama ini. Malah MCA cuba untuk menipu komuniti Cina dengan membohong bahawa UEC akan diiktiraf tidak lama lagi. Seperti janji BN yang tidak akan menaikkan harga barang, BN khususnya MCA tidak pernah berasa malu terhadap ketidakupayaannya dalam menunaikan janji.

Dimaklumkan bahawa institusi pengajian tinggi awam juga telah menerima ramai pelajar antarabangsa yang tidak fasih dalam Bahasa Malaysia. Ini menunjukkan bahawa piawaian penerimaan masuk ke universiti adalah berdasarkan pencapaian taraf akademik pemohon dan bukannya Dasar Pendidikan Kebangsaan yang sering dijadikan alasan kerajaan UMNO BN untuk menolak pengiktirafan UEC. Situasi ini ibarat anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kebuluran.

Sistem pendidkan UEC telah diwujudkan oleh Dong Jiao Zong (Persatuan Guru dan Pengarah Sekolah Cina) sejak tahun 1975 lagi dan sewajarnya dijadikan warisan kebangsaan. Rakyat Malaysia seharusnya meraikan “Diversity” atau kepelbagaian dan bukannya mewujudkan hegemoni ataupun asimilasi dalam aspek pendidikan mahupun kebudayaan.

Ketidakwujudan Keadilan Sosial

Rakyat sepatutnya mempunyai hak untuk memilih mana-mana aliran pendidikan yang diingini tanpa diskriminasi daripada kerajaan walaupun akan wujudnya perbezaan dari segi bahasa pengantar, kebudayaan, sukatan pelajaran dan sebagainya. Namun, realiti kini adalah UMNO dan MCA sering mempermainkan isu pendidikan UEC dan gagal menegakkan keadilan sosial untuk masyarakat majmuk Malaysia.

Pakatan Harapan perlu membawa Harapan Rakyat

Sistem pendidikan UEC telah lama ditindas oleh kerajaan UMNO BN yang konservatif dan zalim. Demi menunjukkan perbezaan antara UMNO BN yang bersifat perkauman dengan Pakatan Harapan yang berjiwa rakyat, sekali lagi saya menyerukan kepada Pakatan Harapan supaya menyenaraikan pengiktirafan UEC dalam Manifesto Bersama Pakatan Harapan ketika PRU ke-14 demi meraikan kepelbagaian dan kemajmukan tanah air ini.

*Leong Yu Sheng adalah Pengarah Biro Hal-Ehwal Varsiti DAPSY