Berita

“Kalau DAP anti-Melayu, dah lama saya keluar DAP” – Tengku Zul

KUANTAN, 3 DIS: Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji hari ini menyatakan kesediaan untuk meninggalkan DAP jika dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak kononnya parti itu memusuhi orang Melayu dan Islam adalah benar.

Bagaimanapun, kata Tengku Zulpuri, tohmahan Perdana Menteri itu ternyata tidak berasas kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diketuai pemimpin DAP, telah membawa banyak kemakmuran kepada kaum Melayu dan perkembangan agama Islam negeri itu.

Bukan sahaja kaum Melayu, pengagihan kemakmuran melalui pelaksanaan dasar-dasar kerajaan Pulau Pinang, katanya, turut merangkumi seluruh penduduk tanpa meminggirkan mana-mana kaum.

Ia jelasnya selaras dengan perjuangan DAP berasaskan Sosial Demokrasi yang mengangkat kepentingan semua kaum berpandukan prinsip keadilan dan amanah.

“Presiden UMNO perlulah fikir sebelum bercakap. Dia kena semak realiti. Jangan senang-senang tuduh DAP anti-Melayu atau anti-Islam.

“Saya orang Melayu dan saya juga wakil rakyat mewakili DAP. Tak perlu tunggu UMNO untuk kecam DAP, saya sendiri sebagai orang Melayu dalam DAP akan bersuara dan sedia keluar parti jika DAP anti-Melayu atau anti-Islam,” ujarnya kepada Roketkini.

Katanya yang juga Adun Mentakab, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng amat prihatin terhadap kepentingan kaum Melayu tanpa melupakan kebajikan kaum lain dengan memberi pelbagai peruntukan kepada rakyat negeri itu demi pembangunan ekonomi dan rohani.

“Kalau DAP anti-Melayu atau anti-Islam mengapa peruntukan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan hal ehwal agama Islam tidak dikurangkan, malah meningkat dari tahun ke tahun?” ujarnya.

Justeru, katanya, dakwaan Najib terhadap DAP itu jelas berniat jahat dan bertujuan untuk meniupkan sentimen perkauman demi kepentingan politik dan kelangsungan parti kaum Melayu terbesar itu yang kini dilihat semakin hilang sokongan.

“Yang menjual tanah rizab melayu DAP atau UMNO? Yang merompak duit rakyat DAP atau UMNO? Yang menghilangkan saham Bumiputera RM52 bilion kepada RM2 bilion dan selewengkan duit orang Islam dalam Tabung Haji siapa?” soalnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan dasar Najib di pentas Persidangan Agung UMNO 2016 yang teruk menghentam DAP dengan pelbagai fitnah. – Roketkini.com