Berita

Persidangan DAP Kebangsaan 2016 hari ini dijangka hangat

SHAH ALAM, 4 NOV: Lebih 1,500 pemimpin, perwakilan dan pemerhati hari ini berkumpul di IDCC Shah Alam dalam Persidangan Kebangsaan DAP 2016 yang akan bermula sebentar lagi.

Persidangan ini merupakan persidangan bersejarah kerana seluruh pemimpin dan perwakilan akan berkumpul untuk meraikan sambutan ulangtahun ke-50 penubuhan parti bertemakan “DAP@50 – Terus Berjuang”.

Menarik perhatian umum, persidangan kali ini dijangka merupakan persidangan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang boleh berlangsung pada bila-bila masa sahaja.

Antara isu yang dijangka hangat dibahas perwakilan hari ini ialah mengenai persediaan parti menghadapi pilihan raya, pengukuhan Pakatan Harapan, kerjasama DAP dengan kuasa politik baru melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan beberapa lagi isu.

Turut diraikan kali ini adalah para veteran parti yang akan dianugerahkan pingat khas bagi menghargai jasa bakti mereka sepanjang penglibatan mereka bersama parti.

Selain itu, sebuah buku berjudul ‘TOKOH – Jatuh Bangun Veteran DAP’ akan dilancarkan yang memuatkan wawancara eksklusif dan perkongsian suka duka barisan veteran parti yang telah banyak berjasa.

Persidangan pagi ini akan bermula sebentar lagi dan akan ditangguhkan  pada jam 5.30 petang nanti.-Roketkini.com