Rencana

Apa ‘kerajaan DAP’ buat kepada kampung Melayu Pulau Pinang?

Selain jaja isu basi, UMNO juga suka putar belit isu. Kalau di persidangan PAU2016 baru-baru ini mereka tuduh DAP hendak lenyapkan institusi Melayu dan Islam jika berkuasa; sebaik perkara itu dijawab tuntas dan padu oleh pimpinan DAP, malah Tun Dr Mahathir sendiri, mereka alihkan kepada isu lain pula.

Semalam, isu Kampung Mutiara, Batu Ferringghi naik lagi dalam Utusan Malaysia. Ia cuba menggambarkan bahawa ‘kerajaan DAP’ Pulau Pinang ini jahat, tidak pedulikan nasib orang Melayu.

Soalnya, sebelum kita bertanya benarkah nasib kampung Melayu ditindas kerajaan negeri, kita perlu tanya adakah dakwaan Utusan itu benar? Atau sekadar manipulasi fakta.

Apa yang perlu diketahui sebelum itu? Tanah Kampung Mutiara dibeli sekitar tahun 2007- sebelum Pakatan jadi kerajaan. Keduanya, tindakan mahkamah dimulakan pemilik tanah dan isu tersebut melibatkan tiga pihak iaitu pemilik tanah, pemaju dan penduduk asal.

Dalam kes mahkamah ini, kerajaan negeri tidak terbabit. Namun, ‘kerajaan DAP’ mengambil langkah proaktif membela nasib penduduk Melayu kampung tersebut menuntut supaya penduduk diberi pampasan setimpal dan tidak akan meluluskan sebarang projek jika pampasan setimpal tidak diberikan.

“Bagaimanakah Kerajaan Negeri boleh dikatakan lepas tangan apabila wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan termasuk saya sendiri telah terlibat dalam usaha mempertahankan penduduk Kampung Mutiara daripada tindakan pengusiran yang dikenakan oleh mahkamah?” soal Ahli Parlimen Bukti Bendera Zairil Khir Johari dalam satu kenyataan terbarunya.

Jika Utusan Malaysia masih mahu membakulsampahkan segala fakta sahih dari kerajaan negeri berhubung isu itu, mungkin sudah sampai masa Utusan rujuk sendiri ucapan yang diberikan Ketua UMNO Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.

Pada Ogos 2015, Datuk Ahmad Ismail menyatakan penghargaannya kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, khususnya Datuk Rashid Hasnon dan Zairil sendiri atas usaha untuk membantu penduduk kampung.

Beliau berkata, isu Kampung Mutiara bukannya isu politik dan tidak seharusnya diputar belitkan oleh sesiapa pun.

Usaha Kerajaan Negeri telah pun diiktiraf oleh Ketua UMNO Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail yang secara terbuka memuji sikap bekerjasama kepimpinan Kerajaan Negeri bagi memastikan kebajikan penduduk terpelihara. Adakah Datuk Ahmad Ismail akan turut difitnah oleh Utusan? –Roketkini.com