Berita

Biasiswa pelajar sekolah di Pulau Pinang naik lebih dua kali ganda, hasil kerajaan cekap dan bersih

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Kerajaan yang mengamalkan urus tadbir cekap, telus dan berakauntabiliti mampu menyediakan komitmen terbaik kepada rakyat dari pelbagai golongan, termasuk golongan pelajar.

Hal ini jelas terbukti apabila Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang menaikkan Biasiswa Kecil Pulau Pinang lebih dua kali ganda sejak mereka mentadbir negeri itu pada tahun 2008.

Menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, kadar bayaran biasiswa berkenaan telah dinaikkan kepada RM600 untuk pelajar Tingkatan 1 hingga 3 dan RM840 bagi pelajar Tingkatan 4 dan 5, sesuai dengan keperluan semasa.

Sebelum 2008, biasiswa berkenaan hanya berjumlah RM240 (Tingkatan 1 hingga 3) dan RM360 (Tingkatan 4 dan 5). Namun, ia bertambah lebih dua kali ganda selepas Pulau Pinang dipimpin oleh Pakatan Harapan.

“Kenaikan bayaran biasiswa ini dapat dilaksanakan atas usaha tata kelola baik Kerajaan Negeri. Urus tadbir yang cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) dan kepimpinan bersih telah membolehkan kita menikmati lebihan belanjawan setiap tahun sejak 2008.

“Malah, lebihan belanjawan dalam tempoh lapan tahun (2008-2015) adalah sebanyak RM574 juta, iaitu lebih besar daripada lebihan untuk tempoh 50 tahun antara 1957 hingga 2007 sebanyak RM373 juta,” jelasnya.

Setiausaha Agung DAP itu menjelaskan, biasiswa tersebut bertujuan menyuntik semangat pelajar dalam meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi selain dapat meringankan beban keluarga mereka.

“Sumbangan yang disampaikan ini adalah satu dividen ‘anti-rasuah’ dan hasil keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menghargai dan menjaga kebajikan rakyatnya.

“Ia sekaligus membantu mentransformasikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang bertaraf antarabangsa dan pintar,” katanya, sambil mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang memperoleh biasiswa berkenaan.

Bantuan Biasiswa Kecil Pulau Pinang diberikan kepada semua sekolah di Pulau Pinang dengan penerima dari tahun 2012 hingga 2016 seramai 4383 pelajar.

Seluruh perbelanjaan untuk biasiswa berkenaan adalah sebanyak kira-kira RM 2.78 juta. – Roketkini.com